NYON – Misi Real Madrid untuk mara ke pusingan 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) nampak sukar apabila sekali lagi bakal bertemu Benfica yang dikendalikan oleh bekas jurulatih, Jose Mourinho di pusingan playoff pada bulan ini.
Sebagai rekod, Benfica menjadi penghalang buat Real meraih slot automatik ke pusingan 16 terbaik selepas melakar kemenangan dramatik 4-2 pada aksi terakhir pusingan liga di laman sendiri, awal minggu ini.
Pada perlawanan tersebut, jaringan pada masa kecederaan yang dilakukan oleh penjaga gol Benfica, Anatoliy Trubin bukan sahaja memastikan Benfica layak ke peringkat play-off, malah memastikan Real menamatkan saingan liga di kedudukan kesembilan.
Lebih menarik, Mourinho yang pernah membimbing Real pada musim 2010 hingga 2013 memiliki ramuan taktikal terbaik untuk menghalang impian The Galacticos untuk memburu trofi berprestij Eropah itu buat kali ke-16.
Sementara itu, jurulatih Inter Milan, Cristian Chivu turut menganggap laluan pasukan untuk ke pusingan 16 terbaik sangat berliku diundi menentang kelab Norway, Bodo/Glimt yang dianggap sebagai pembunuh gergasi di peringkat liga sebelum ini.
“Setiap perlawanan UCL ada cabarannya sendiri. Bodo/Glimt sudah buktikan mereka ancaman kepada kelab besar apabila menang ke atas Manchester City dan Atletico Madrid sebelum ini dan kita perlu waspada,” katanya.
Pusingan pertama playoff akan berlangsung pada 17 dan 18 Februari manakala aksi ulangan bakal berlangsung pada 24 dan 25 Februari.
Lapan pemenang peringkat playoff akan layak ke pusingan 16 terbaik bertemu kelab-kelab pilihan utama seperti Arsenal, Bayern Munich, Liverpool, Tottenham Hotspur, Barcelona, Chelsea, Sporting Lisbon dan City. – AGENSI














