KUALA LUMPUR – Seorang wanita resah selepas menerima ugutan along dari Singapura berhubung hutang yang didakwa dibuat oleh kakaknya, bagi tujuan perjudian.
Wanita dari Hulu Langat yang enggan didedahkan namanya itu berkata, kakaknya Chew Lai Wah, yang bekerja di Singapura lebih 10 tahun itu dipercayai berhutang kira-kira SGD$50,000 (RM155,387.50).
Menurut wanita itu, ia merupakan kali ketiga kakaknya berhutang along dengan dua pinjaman terdahulu berjumlah RM78,000 telah pun dilangsaikan.
“Pada 16 Januari lalu, saya menerima mesej serta video ugutan melalui WhatsApp nombor dari Singapura menunjukkan sebuah rumah di kawasan taman kediaman bapa.
“Along itu juga telah ganggu keluarga dengan menyimbah cat merah ke rumah. Bagaimanapun mereka tersilap alamat, dan turut mengugut untuk bakar rumah berkenaan,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma MCA, hari ini.
Wanita itu mendedahkan, kejadian itu menyebabkan mereka sekeluarga bimbang terhadap keselamatan diri manakala laporan polis telah dibuat di Balai Polis Daerah Kajang.
Selain itu, wanita berkenaan juga berhasrat untuk memutuskan hubungan kekeluargaan dengan kakaknya bagi mengelakkan masalah berulang pada masa akan datang. – KOSMO! ONLINE














