PETALING JAYA – Meskipun sudah bergelar Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi membuktikan sifat rendah dirinya tidak pernah pudar apabila menyantuni sekumpulan pelajar sekolah yang teruja bertemu dengannya.
Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, tidak menyangka beberapa pelajar lelaki itu sanggup menunggu untuk meminta tanda tangan daripadanya.
“Awalnya intai-intai dari jauh. Ingatkan sekadar tengok Datuk Seri Siti Nurhaliza makan.
Sekali rupanya nak minta tandatangan. Buku koyak pun tak apa ya, comel betul adik-adik ini,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Sempat menyantuni, pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu mengambil peluang menitipkan nasihat agar golongan remaja tersebut fokus kepada pelajaran demi membanggakan keluarga masing-masing.
“Belajar rajin-rajin ya, semoga berjaya dan membanggakan keluarga,” ujarnya lagi.
Selain melayani karenah pelajar sekolah tersebut untuk bergambar, Siti juga bermurah hati belanja kesemua pelajar tersebut makan di restoran yang sama.
Rata-rata peminat meluahkan rasa kagum melihat pengaruh Siti yang masih ampuh walaupun dalam kalangan generasi muda.
“Mesti mak budak-budak itu makan hati, anak mereka dapat jumpa Biduanita Negara siap kena belanja makan,” kata pengikut.














