fbpx
Hantaran gambar memaparkan keadaan anak tangga eskalator yang rosak dan terkeluar dari tempat asal.

‘Takkan nak tunggu kaki putus baru nak ambil tindakan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila keadaan bahagian anak tangga eskalator yang rosak sehingga sebahagiannya tercabut di sebuah lokasi berhampiran Masjid Putra, Putrajaya mencetuskan kebimbangan ramai.

Menerusi perkongsian di Threads oleh @melina_indrani, wanita berkenaan memuat naik gambar eskalator tersebut yang memaparkan beberapa anak tangga terkeluar dan tersangkut di bahagian penghujungnya.

Menurutnya, kerosakan eskalator berkenaan bukan berlaku sekali, sebaliknya telah berulang kali berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya cuma 10 saat terlepas daripada kejadian ini, tetapi apa punca eskalator boleh rosak seteruk ini? Seram gila ya Allah.

“Dalam tempoh beberapa tahun saja, tidak tahu sudah berapa kali eskalator ini rosak. Mungkin sudah tidak berbaloi untuk dibaiki lagi. Buang dan ganti sahaja. Jangan sampai ada kaki putus, nyawa melayang baru nak ambil tindakan,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Perkongsian tersebut mencuri perhatian ramai yang rata-rata turut meluahkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan eskalator berkenaan kerana dikhuatiri boleh mengundang kejadian tidak diingini.

“Eskalator ini memang seram dari dulu lagi. Tidak tahu kenapa, macam tidak diselenggara pun ada. Setiap kali naik memang berdebar-debar. Tetapi sudah bertahun-tahun, kenapa masih tidak diselenggara dengan betul?” komen Afiqah Anuar.

“Ini eskalator kawasan luar, terdedah kepada hujan dan panas. Kalau penyelenggaraan pun kurang, memang begini jadinya,” komen Arif Akmal.

“Bahaya betul. Nasib baik tidak jadi apa-apa dekat awak. Terus teringat pernah baca kes orang terjatuh dalam eskalator sampai meninggal dunia. Harap perkara macam itu tidak berlaku di sini,” komen Wan Aina. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN