SELAMA tiga dekad, Profesor Adjung Dr. Norita Hussein memilih untuk mengabdikan diri dalam bidang perubatan dan akademik.
Sepanjang terlibat bidang tersebut, beliau yang juga merupakan pakar perubatan keluarga dan pensyarah di Universiti Malaya bukan hanya merawat ramai pesakit tetapi telah mendidik ramai pelajar dalam bidang perubatan.
Sepanjang kerjayanya, wanita berusia 57 tahun itu telah memberikan sumbangan besar terutama di dalam bidang perubatan keluarga termasuk penglibatannya dalam inisiatif kesihatan global berkaitan pencemaran alam.
Biarpun sudah bersara dua tahun lalu, kini Dr. Norita masih terus berkhidmat sebagai Profesor Adjung dan terlibat dalam pengajaran dan penyelidikan.
Sumbangan dan khidmat cemerlangnya ternyata dihargai apabila baru-baru ini diangkat sebagai salah seorang penerima Anugerah Affin Invikta Top 50 Women of Excellence 2025 yang mengiktiraf wanita-wanita paling berinspirasi di Malaysia.
Dr. Norita menitipkan rasa syukur kerana dirinya terpilih untuk mendapat anugerah tersebut.
“Pada mulanya saya sendiri terkejut kerana terpilih untuk mendapat anugerah ini, tetapi rezeki telah tertulis untuk saya menerimanya.
“Bukan mudah untuk menerima pengiktirafan seperti ini, apatah lagi apabila berada dalam kelompok 50 penerima yang terdiri daripada individu berprofil tinggi dalam bidang masing-masing,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu kepada K-Wanita baru-baru ini.
Anugerah Top 50 Women of Excellence 2025 mengiktiraf wanita cemerlang daripada pelbagai bidang termasuk kewangan, sains, keusahawanan, perubatan, pendidikan dan lain-lain lagi.
Malah, setiap penerima anugerah yang dicalonkan telah dinilai secara adil oleh panel juri berwibawa.
Mengulas definisi kecemerlangan, Dr. Norita berkata, kecemerlangan tidak seharusnya diukur melalui anugerah atau pengiktirafan semata-mata.
“Sebaliknya, nilai sebenar kecemerlangan terletak pada sejauh mana sesuatu usaha itu memberi manfaat kepada orang lain.
“Apa sahaja yang kita lakukan, jika ia memberi kebaikan kepada seseorang, walaupun hanya seorang individu, itu sudah cukup membahagiakan dan bermakna,” katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.
MENGULAS tentang kerjayanya, Dr. Norita mengakui menjadi doktor bukanlah cita-citanya sejak kecil.

Ketika kecil dia sebenarnya bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik. Namun, rezekinya telah tertulis untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Malaya.
Beliau kemudian bekerja sebagai doktor di Hospital Kuala Lumpur dan juga Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selama hampir tiga tahun.
“Saya kemudian memilih untuk melanjut pengajian peringkat sarjana dalam bidang perubatan keluarga di UM dan dalam masa sama mendapat tawaran skim akademik untuk menjadi tenaga pengajar.
“Selepas tamat pengajian, saya kemudian terus menjadi ahli akademik dan cita-cita saya untuk menjadi pendidik juga tercapai. Saya gembira untuk mendidik pelajar-pelajar perubatan,” jelasnya.
Tambah Dr. Norita, dia rasa puas kerana bukan sahaja dapat mengajar tetapi masih berpeluang bertemu dengan pesakit.
Meskipun telah bergelar seorang doktor dan ahli akademik, Dr. Norita tidak pernah berhenti untuk terus menambah ilmu pengetahuan.
Pada 2010, wanita ini mendapat tawaran untuk menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di University of Nottingham di United Kingdom (UK).
Di sana, beliau menjalankan penyelidikan berkaitan komuniti genetik dan menyempurnakan pengajiannya dalam tempoh masa empat tahun.
Selain perubatan keluarga, Dr. Norita turut memberi tumpuan kepada bidang genetik komuniti khususnya saringan genetik seperti talasemia.

Memperjuangkan kesedaran talasemia, kata Dr. Norita, saringan awal sangat penting bagi membolehkan individu mengetahui status dengan lebih awal.
“Sebagai contoh jika seseorang memiliki genetik talasemia dan berkahwin dengan pasangan memiliki genetik sama, ia akan memberi risiko kepada anak yang akan lahir.
“Tujuan saringan bukan untuk menghalang, tetapi untuk memberi pengetahuan dan ia sangat penting untuk membolehkan perancangan keluarga dan keputusan termaklum (informed decision).
“Apabila seseorang mengetahui risiko yang ada, mereka boleh rancang langkah pencegahan dengan lebih baik,” terangnya yang banyak membantu Persatuan Talasemia PPUM sejak 2005.
Dr. Norita turut menganjurkan aktiviti libat urus komuniti dan kem kesihatan untuk pesakit serta keluarga yang terjejas oleh talasemia antaranya di Kota Belud, Sabah.
Program-program ini bertujuan meningkatkan kesedaran, memperkasa komuniti dan memupuk keyakinan dalam pengurusan kendiri penyakit tersebut.
Selain itu, Dr. Norita juga telah mewakili Malaysia di International Summit in Human Genetics and Genomics di Bethesda, Amerika Syarikat (AS) serta turut dianugerahkan felo oleh National Institutes of Health (NIH), AS.
Dalam masa sama, Dr. Norita turut menyumbang kepada inisiatif kesihatan global sebagai penyelidik bersama dengan National Institute for Health Research (NIHR) Global Health Research Unit on Respiratory Health (RESPIRE) yang memfokuskan kesihatan respiratori di Asia.
Menurutnya, dia terlibat dengan kajian mengenai pencemaran alam sekitar dan kaitannya dengan penyakit respiratori.
“Untuk kajian ini, kami mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan dan pergi ke komuniti yang terjejas dengan masalah pencemaran alam sekitar. Kita bagi pendedahan bagaimana untuk kurangkan kesan pencemaran kepada kesihatan,” jelasnya sambil memberitahu kajiannya tentang masalah tersebut belum lagi berakhir dan masih lagi berjalan.
Menjelaskan lanjut perkembangan dirinya, Dr. Norita berkata, beliau sebenarnya telah bersara sebagai pakar perubatan dan ahli akademik sejak dua tahun lalu.
Meskipun telah bersara, dirinya masih memilih untuk menyumbang dan berkongsi kepakarannya.
“Saya masih lagi datang ke UM sebagai Profesor Adjung dan masih terlibat dalam pengajaran dan penyelidikan. Selagi masih ada kudrat saya akan berkongsi ilmu dan pengalaman yang saya ada,” katanya.
Berkongsi bagaimana dirinya mengimbangi antara kerjaya dan keluarga, Dr. Norita mengamalkan fokus sepenuhnya kepada apa yang sedang dilakukan.
“Jika di tempat kerja, fokus pada kerja dan pesakit, di rumah saya akan memberi fokus sepenuhnya kepada keluarga. Lama-kelamaan ia menjadi satu rutin yang boleh saya uruskan dengan baik,” jelasnya.
Berbicara tentang peranan wanita dalam masyarakat moden hari ini, Dr. Norita melihat perubahan ketara berbanding dekad-dekad terdahulu.
Baginya, wanita kini memainkan peranan sama penting dengan lelaki dalam pelbagai sektor, sama ada dalam bidang profesional, akademik mahupun kepimpinan.
“Lelaki dan wanita saling melengkapi, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.
“Persepsi masyarakat juga semakin terbuka, dengan lebih banyak platform diwujudkan untuk wanita buktikan keupayaan mereka tanpa halangan jantina,” katanya.
Dr. Norita menitipkan pesan kepada wanita yang ingin membina kerjaya dalam bidang perubatan untuk menekankan niat yang murni dan berdedikasi.
Baginya, bidang perubatan bukan sesuatu yang mudah dan ia memerlukan pembelajaran berterusan.
“Jangan takut untuk mengejar impian dan jangan berhenti belajar kerana ilmu sentiasa berkembang,” pesannya.














