fbpx
Anthony (dua dari kiri) menyampaikan kad konsesi Bas.My kepada wakil komuniti pada Pelancaran Program SBST - Bas.My di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

Sistem telematik pantau sikap, keadaan semasa pemandu bas ekspres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Pemasangan sistem telematik yang sudah dilaksanakan merupakan salah satu langkah yang diperkenalkan Kementerian Pengangkutan untuk memantau sikap dan tingkah laku pemandu bagi mengelakkan kemalangan melibatkan bas ekspres tidak berulang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemasangan sistem tersebut ketika ini dijalankan secara sukarela oleh syarikat pengendali bas sebelum ia akan diwajibkan tidak lama lagi.

Menurutnya, sistem telematik itu melibatkan antaranya gabungan sistem kedudukan global (GPS) dan kamera televisyen litar tertutup (CCTV) untuk memantau keadaan semasa pemandu bas.

“Melalui sistem itu, kita dapat melihat pemandu bas sama ada mereka letih atau lesu kerana ada rakaman papan pemuka (dashcam) di dalam kenderaan tersebut.

“Kita akan memantau sikap pemandu bas semasa bertugas agar kemalangan melibatkan bas ekspres tidak berulang. Setakat ini, pemasangan sistem itu dijalankan secara sukarela, tetapi kita galakkan syarikat pengendali bas memasangnya,” katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST)-Bas.My di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, kemalangan bas persiaran yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berpunca daripada kegagalan sistem brek dan tindakan pemandu semasa menuruni cerun.

Maklumat itu diperoleh menerusi Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berkaitan nahas tersebut yang berlaku di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak pada 9 Jun tahun lalu.

Menurut laporan itu, sistem brek bas terjejas akibat perubahan bentuk dan kehausan brake drum belakang sebelah kiri, serta pencemaran gris atau minyak pada ‘brake lining’ dan ketidakseragaman komposisi bahan lining.

Keadaan tersebut mengurangkan daya geseran brek dan mempercepatkan berlakunya fenomena ‘brake fade’. Pada masa sama, bas persiaran tersebut dipandu pada kelajuan yang melebihi kelajuan selamat.

Analisis video menganggarkan kelajuan bas ketika kejadian sekitar 114.7 kilometer sejam (km/j) melepasi julat kelajuan kritikal bagi kejadian terbalik antara 111.3 hingga 114.5 km/j. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI