fbpx
Micheal Chong (tengah) ketika ditemui di Wisma MCA, Kuala Lumpur hari ini.

Kenyataan ‘zero recovery’ tidak tepat – Michael Chong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kenyataan bahawa wang mangsa penipuan tidak dapat diperoleh semula sepenuhnya seperti yang disebut di Dewan Rakyat, di sini baru-baru adalah tidak tepat.

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong tampil membuat penjelasan susulan kenyataan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, pada 27 Januari 2026 yang menyebut bahawa ‘wang yang di-scam ini zero recovery’ (tiada pemulihan direkodkan).

Menurut Michael Chong, kenyataan tersebut tidak mencerminkan maksud sebenar yang beliau sampaikan dalam sidang media pada 15 Disember 2025.

“Perkataan sebenar yang saya gunakan ialah ‘my success of getting back the money for the victim is zero’ (kejayaan saya mendapatkan kembali wang milik mangsa adalah sifar) merujuk kepada kadar kejayaan pemulangan wang oleh Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah menyatakan bahawa kadar pemulihan wang penipuan adalah sifar di peringkat nasional atau melibatkan keseluruhan agensi kerajaan.

Katanya, data yang dikemukakan hanyalah berdasarkan rekod semasa yang dimiliki oleh biro berkenaan dan tidak mewakili keupayaan keseluruhan agensi penguat kuasa negara dalam membanteras jenayah penipuan.

“Statistik satu jabatan tidak boleh dan tidak seharusnya ditafsir sebagai gambaran mutlak keberkesanan usaha kerajaan dalam memerangi jenayah scam,” katanya.

Michael Chong berkata, siasatan kes penipuan sememangnya kompleks kerana kebanyakannya melibatkan kerjasama rentas agensi, antara negeri serta merentasi sempadan negara.

“Sebahagian kes masih berada pada peringkat siasatan atau proses perundangan, manakala pengesanan serta pemulangan dana memerlukan masa,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, serta Ahli Parlimen Langkawi atas keprihatinan tinggi terhadap peningkatan kes penipuan yang semakin membimbangkan.

Menurutnya, jenayah scam bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada mangsa, malah turut menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem keselamatan kewangan negara.

Beliau berkata, bahawa usaha memerangi jenayah penipuan tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh melibatkan kerajaan, wakil rakyat, agensi penguat kuasa serta pertubuhan masyarakat sivil.

“Kerjasama berterusan dalam aspek ketelusan maklumat, penambahbaikan sistem dan pendidikan awam amat penting bagi melindungi kepentingan rakyat,” katanya.

Tambahnya, Michael Chong mendedahkan bahawa sejak 2024 hingga kini, pihaknya telah menerima lebih 130 laporan kes penipuan membabitkan jumlah kerugian kira-kira RM91 juta.

Daripada jumlah tersebut, 70 peratus melibatkan penipuan pelaburan, manakala lebih 10 kes telah direkodkan sepanjang Januari tahun ini sahaja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN