fbpx
Gambar hiasan

‘ATM bukan kolam rasuah, sebuah angkatan persenjataan yang berdaulat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan (Mindef), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan sebuah angkatan persenjataan yang berdaulat.

Tegas beliau, ATM bukan sebuah ‘kolam rasuah’ dan sama sekali tidak berfungsi melalui ekosistem nasional yang dipacu dengan imbuhan serta ganjaran yang keji dan tidak halal.

“Elemen buruk (seperti rasuah dan salah guna kuasa) bukan sahaja menghakis kepercayaan rakyat, menjejaskan persepsi terhadap keunggulan, kehebatan dan keanggotaan ATM.
“Ia malah mengkhianati tujuan moral sebuah angkatan persenjataan negara yang berdaulat,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penerangan Menteri Pertahanan mengenai isu berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM.

Mohamed Khaled menegaskan, perbuatan jenayah terutama rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM tidak boleh dianggap sekadar penyelewengan atau salah laku pentadbiran.

Ujar beliau, ia sebaliknya suatu ancaman besar terhadap keselamatan negara dan berisiko untuk menghancurkan dan melumpuhkan tanah air jika musuh ATM terdiri daripada ‘orang dalam’

“ATM tahu bagaimana untuk menghadapi serangan ketenteraan dan mereka belajar untuk berperang dan berjuang, namun jika orang diamanahkan boleh dibeli, dirasuah dan dimiliki golongan pemodal yang rakus, kita akan pasti tewas sebelum bertempur.

“Pembelian aset pertahanan tak bermutu, perolehan pertahanan berstatus berkali ganda lebih mahal dan kekangan dana disebabkan ketirisan, semua ini bukan hanya melemahkan sistem pertahanan nasional, tetapi mengancam nyawa perajurit kita,” katanya.

Justeru, kata beliau, Mindef berpendirian rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kegelinciran integriti sebagai perbuatan keji, hina dan tidak bermoral yang bercanggah dengan sikap dan budaya sebenar Mindef.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled Nordin memberi jaminan sistem pertahanan nasional Malaysia tetap utuh, berfungsi sebaiknya, malah tidak terjejas susulan skandal rasuah membabitkan beberapa pegawai tertinggi ATM.

Kata beliau, kesiapsiagaan sistem pertahanan negara berada pada tahap terbaik dan tidak ada sama sekali gangguan terhadap operasi pertahanan

Beliau memaklumkan, semua proses perolehan yang tertangguh akan diselaraskan dengan Kementerian Kewangan supaya operasi ATM dapat berjalan seperti diharapkan.

“Segala masalah yang terbit mengenai pegawai ATM tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghukum keseluruhan ATM sebagai sebuah institusi yang rosak atau tidak berintegriti

“ATM pada asasnya masih berfungsi sebagai sebuah institusi pertahanan nasional yang hebat, unggul dan berfungsi dengan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI