KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan nilai perdagangan negara akan meningkat dalam julat tiga hingga lima peratus tahun ini.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, beliau optimis sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan situasi ekonomi semasa dan ia juga selari dengan unjuran prestasi perdagangan global oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
“Sudah tentu ini sekiranya tiada sebarang kejadian luar jangka dan di luar kawalan kita contohnya kemelesetan dalam ekonomi besar, atau krisis ekonomi pada rakan dagang utama kita.
“Tahun lalu, Matrade menyasarkan pertumbuhan sehingga lima peratus, namun prestasi sebenar mencatatkan pertumbuhan 6.3 peratus, satu kejayaan yang amat memberangsangkan.
“Saya berharap kita boleh memecahkan rekod yang dicatat tahun lalu, namun saya juga akan sangat gembira sekiranya kita mampu mengekalkan momentum ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas pada Majlis Pasca-Pengumuman Prestasi Perdagangan Malaysia 2025 di Menara Matrade, di sini hari ini.
Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan melebihi RM3 trilion buat kali pertama dalam sejarah untuk merekodkan RM3.06 trilion pada 2025, dipacu pertumbuhan eksport sebanyak 6.5 peratus kepada RM1.61 trilion, manakala import naik 6.2 peratus kepada RM1.45 trilion.
Ditanya sama ada pengukuhan ringgit ketika ini akan memberi kesan kepada daya saing dan prestasi eksport negara, Tze Tzin menolak kemungkinan tersebut sambil menjelaskan sebahagian besar perdagangan Malaysia sebenarnya adalah berasaskan nilai tambah.
“Sebagai contoh sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang merupakan eksport terbesar negara, Malaysia mengimport barangan separa siap sebelum menjalankan proses nilai tambah seperti pembungkusan dan pemasangan, sebelum dieksport semula.
“Dalam konteks ini, pengukuhan ringgit tidak memberi kesan besar kerana kos import menjadi lebih murah, manakala nilai tambah yang dilakukan di dalam negara tetap memberi pulangan,” ujarnya.
Menurut beliau, cabaran mungkin wujud bagi pengeluar barangan buatan tempatan, namun perkara itu boleh ditangani sekiranya mereka terus dibantu untuk meningkatkan nilai produk dan menembusi pasaran bernilai tinggi.
“Malaysia tidak seharusnya terus menjadi pengeluar kos rendah, sebaliknya bergerak naik ke atas dalam rantaian nilai bagi menjana pendapatan yang lebih berkualiti dan mampan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














