JAKARTA – Satu bunyi dentuman kuat menggemparkan penduduk daerah Agam, wilayah Sumatera Barat pada 23 Januari lalu yang berlaku ketika waktu subuh, lapor laman berita Go Sumbar semalam.
Bunyi tersebut jelas dan kuat sehingga membuatkan ramai penduduk terjaga daripada tidur.
Menurut beberapa penduduk, dentuman itu didengari di Agam, Pasaman dan beberapa daerah sekitarnya.
“Suara dentuman yang sangat kuat, seperti ledakan dari atas langit. Kami keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku,” kata salah seorang penduduk yang enggan dikenali,.
Sesetengah penduduk mengaitkan bunyi itu dengan fenomena semula jadi. Ada yang mengesyaki ia menyerupai letusan Gunung Marapi, manakala yang lain menyifatkannya sebagai letupan besar di udara.
Kejadian itu dengan cepat menjadi topik perbualan hangat di media sosial dengan penduduk saling bertukar spekulasi tentang sumber bunyi misteri itu.
Sementara itu, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) berkata, bunyi itu bukan berkaitan dengan gempa bumi atau cuaca ekstrem.
Namun katanya, setakat ini masih tidak diketahui punca bunyi tersebut selepas pemeriksaan mendapati tiada anomali signifikan pada data seismik ketika waktu kejadian. – AGENSI














