JAKARTA – Pelajar sebuah sekolah di Depok, wilayah Jawa Barat resah apabila kelibat seekor buaya sepanjang 1.5 meter sering muncul sungai belakang sekolah mereka, lapor laman berita Detik.
Reptilia dinamakan Lisa oleh pelajar SMA 5 Depok itu dikatakan muncul sejak lima bulan lalu.
Jurucakap sekolah berkenaan dikenali sebagai Yasin berkata, pihak pengurusan tidak mengetahui asal-usul buaya tersebut.
“Boleh jadi buaya itu dibawa arus atau terdapat beberapa ekor buaya lain. Namun, Lisa kerap muncul di kawasan sungai belakang sekolah,” katanya.
Tambah Yasin, Lisa kerap muncul pada waktu tengah hari dan berjemur di tepi sungai sebelum hilang.
“Kebiasaannya, buaya itu muncul sekitar pukul 12 hingga 1 tengah hari (waktu tempatan).
“Pada awal kemunculannya, saiznya hanya kira-kira 25 sentimeter hingga 30 sentimeter sahaja. Kini, saiz buaya itu bertambah kepada 1.5 meter,” katanya.
Ditanya mengenai nama buaya itu, Yasin berkata, Lisa hanya nama julukan yang diberi oleh pelajar disebabkan populariti reptilia tersebut yang sering disebut-sebut.
“Ia cuma nama panggilan seperti nama haiwan peliharaan,” kata Yasin.
Setakat ini, Lisa masih gagal ditangkap, manakala phak sekolah sudah meminta bantuan pihak berkuasa tempatan untuk melakukan tindakan segera sebelum insiden tidak diingini berlaku. – AGENSI














