GEORGE TOWN – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan terjatuh dari tingkap bilik tidurnya di aras 10, sebuah kondominium di Gelugor di sini, semalam kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).
Mangsa dikatakan mengalami kecederaan parah pada beberapa anggota badan dan berada di bawah pemantauan pakar di hospital berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, hasil siasatan awal pihak polis setakat ini tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
”Kes masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.05 tengah hari dan mangsa warga tempatan ditemukan orang awam dalam keadaan terbaring di tingkat tujuh kondominium berkenaan.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah dan segera dihantar ke HPP untuk mendapatkan rawatan lanjut. -KOSMO! ONLINE














