TAMPIN – Seorang pemilik kedai di Taman Tampin Jaya, di sini, trauma selepas loket emasnya diragut penyamun di premis perniagaan suaminya, petang kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai Ling, 46, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, dia berada seorang diri di dalam kedai runcit tersebut.
“Lelaki itu masuk ke kedai pakai topi keledar. Saya tak syak apa-apa sebab memang dah biasa pelanggan masuk tanpa menanggalkan helmet kerana hanya masuk sebentar sahaja beli barang.
“Ketika itu letakkan dua air botol bergas di atas meja berhampiran kaunter dan ingin membuat pembayaran. Saya beritahu berapa harganya dan dia kelihatan mahu membayar, namun sangkaan saya meleset.
“Tiba-tiba lelaki itu terus rentap rantai leher saya dan loket rantai emas berkenaan, sebelum larikan diri dengan menaiki motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman pula ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan.- KOSMO! ONLINE














