KUALA TERENGGANU – Isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Panglima Muhammad Hafizuddeain Jantan sekali lagi dihadapkan atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Salwani Anuar @ Kamaruddin yang hadir sendiri menggunakan kerusi roda membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM5,000 yang dimasukkan ke dalam akaun miliknya.
Perbuatan didakwa dilakukan Salwani di sebuah bank di Jerteh, Besut pada 16 Januari 2025.
Dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
Kosmo! 23 Januari lalu melaporkan Salwani tidak mengaku bersalah atas empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM77,000.
Pada masa itu dia dibenar dibebaskan dengan wang jaminan RM30,000 oleh Hakim Rosli Ahmad. – KOSMO! ONLINE














