JAKARTA – Pekerja bantuan menyambung pencarian hari ini untuk menyelamatkan kira-kira 80 orang yang hilang dalam bencana tanah runtuh, selepas misi menyelamat ditangguhkan semalam akibat cuaca buruk.
Tanah runtuh menimbus sebuah perkampungan di rantau Bandung Barat, Pulau Jawa, pagi semalam dengan menimbus kawasan perumahan dan memaksa berpuluh-puluh penduduk mengosongkan rumah mereka.
Sekurang-kurangnya sembilan orang terkorban dan kira-kira 80 lagi masih hilang, demikian menurut Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan(BASARNAS) semalam sambil memberi amaran, angka korban dijangka meningkat.
“Hujan memaksa usaha menyelamat dihentikan semalam,” kata penyelaras misi menyelamat, Ade Dian Permana dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, wartawan AFP di lokasi kejadian berkata, operasi disambung semula hari ini selepas hujan reda.
Pasukan penyelamat melakukan kerja penggalian secara manual dengan dibantu anggota tentera, polis dan sukarelawan.
Mereka juga mengerahkan dron dan unit anjing pengesan untuk mencari mangsa.
Menurut pihak berkuasa, usaha menyelamat sukar kerana keadaan muka bumi dan tanah tidak stabil.
Bencana itu berlaku selepas ribut tropika dan hujan monsun pada akhir tahun lalu mencetuskan banjir serta tanah runtuh yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menyebabkan 240,000 lagi hilang tempat tinggal di Pulau Sumatra, Indonesia, demikian menurut angka rasmi.
Kerajaan Indonesia memfailkan pelbagai tuntutan mahkamah berikutan banjir Sumatera an menuntut ganti rugi lebih AS$200 juta (RM801 juta) terhadap enam syarikat.
Pada bulan ini, hujan lebat di Pulau Siau, Indonesia, menyebabkan banjir kilat yang membunuh sekurang-kurangnya 16 orang. – AFP














