KUALA LUMPUR – Kehadiran ikon muay thai dunia, Buakaw Banchamek bakal menjadi tumpuan menjelang Kejohanan Muay Thai T-Fight All-Stars 2026 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 24 April depan.
Aksi legenda muay thai Thailand itu sememangnya dinantikan peminat-peminat sukan tempur tanah air di mana dia dijadualkan beraksi dalam acara utama menentang petarung dari China, Meng Gaofeng.
Pengasas T-Fight, Shamsudeffendi Mohammad berkata, mereka akhirnya dapat merealisasikan impian untuk membawa bintang muay thai dunia menerusi Buakaw pada kejohanan melibatkan 14 petarung itu.
“Dunia tahu bahawa Buakaw merupakan ikon sukan muay thai. Mungkin ada yang tidak tahu muay thai tetapi mereka mengenali Buakaw dan kali ini kita dapat merealisasikan impian kita,” katanya.

Biarpun Buakaw dianggap sebagai pilihan pada pertarungan itu nanti, namun kemampuan Gaofeng tidak boleh dipandang rendah apabila memiliki 33 kemenangan dengan sembilan keputusan KO dalam 45 pertarungan.
Secara keseluruhan, T-Fight All-Stars akan menampilkan tujuh pertarungan melibatkan petarung-petarung dari Malaysia, Thailand, China, Indonesia, Kemboja, Uganda dan Maghribi, sekali gus membuktikan status antarabangsa.
Dalam pada itu, penganjur juga yakin kejohanan tersebut bukan sahaja mampu menarik perhatian peminat sukan tempur, malah turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab sukan tempur di rantau ini. – KOSMO! ONLINE














