Fesyen Korea gaya harian memiliki ciri-ciri longgar atau oversized dengan warna natural.

Daripada gelombang budaya pop kepada K-fesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM tempoh sedekad lalu, K-fesyen atau fesyen Korea Selatan telah berkembang daripada sekadar pengaruh visual K-drama dan K-pop kepada satu bentuk ekspresi gaya hidup yang semakin mengakar dalam landskap fesyen Malaysia.

‘Demam’ konsert besar melibatkan kumpulan-kumpulan Korea seperti Super Junior Sabtu lalu dan BTS dijadualkan Disember ini juga mengingatkan kita kepada pengaruh negara kimchi itu dalam pelbagai aspek.

Jika sebelum ini fesyen Korea sering dilihat sebagai sesuatu yang eksperimental atau terlalu terikat dengan imej selebriti, bagaimanapun hari ini muncul sebagai pendekatan berpakaian yang praktikal, selesa dan relevan dengan kehidupan seharian masyarakat Malaysia.

Menurut pemain industri dan pakar fesyen dari Korea Selatan, Tony Oh Hyodong, perubahan ini sejajar dengan evolusi K-fesyen di peringkat global.

“K-fesyen pada satu ketika tidak mempunyai identiti global yang jelas kerana dibangunkan khusus untuk pasaran domestik Korea.

“Namun, dengan penerimaan meluas budaya Korea di peringkat antarabangsa, fesyen harian dari Korea kini lebih mudah difahami dan diterima sebagai pakaian universal yang berfungsi merentas budaya dan pasaran,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa pada majlis pelancaran butik pakaian pertama jenama dari Korea Selatan, Topten10 di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya yang juga pengarah eksekutif Shinsung Tongsang Malaysia, syarikat yang menerajui kemasukan dan pengembangan Topten10, kekuatan K-fesyen juga terletak pada keupayaan bergerak melangkaui kitaran trend jangka pendek.

K-fesyen ialah gaya dan pendekatan berpakaian yang berasal dari Korea Selatan yang menekankan keseimbangan antara keselesaan, fungsi dan estetika moden.
Ia dicirikan oleh potongan santai dan longgar, reka bentuk minimalis, penggunaan warna natural serta fokus kepada pakaian harian yang praktikal dan mudah digayakan.

K-fesyen juga menampilkan rekaan chic dan playful dalam estetik Korea pada cetakannya.

Kongsi Tony Oh lagi, K-fesyen hari ini semakin matang dan berteraskan identiti, bukan sekadar mengikut arus bermusim.

Fokusnya kini adalah kepada pakaian yang boleh dipakai berulang kali, mudah digayakan untuk pelbagai situasi dan kekal relevan dalam jangka panjang

Namun, pengaruh budaya pop Korea hari ini semakin bersifat tidak langsung.

Fesyen Korea kini semakin diterima oleh dunia global.

“Jika dahulu gaya selebriti menjadi rujukan utama, kini lebih mempengaruhi cara individu menyusun pakaian dan membina identiti peribadi.

“K-fesyen tidak lagi dilihat sebagai niche atau eksperimental, sebaliknya sebagai gaya moden yang boleh diintegrasikan secara semula jadi ke dalam rutin harian,” ujarnya.

Pendekatan ini memberi kesan langsung kepada cara pengguna Malaysia melihat fesyen. Pakaian tidak lagi dinilai semata-mata berdasarkan gaya, tetapi juga dari segi fungsi, kesesuaian iklim dan nilai penggunaan harian.

Ini menjelaskan mengapa jenama berinspirasikan K-fesyen yang menekankan kualiti, potongan konsisten dan reka bentuk minimalis semakin mendapat tempat di pasaran tempatan.

Di Malaysia, transformasi ini dapat dilihat dengan jelas melalui cara generasi muda menyesuaikan elemen K-fesyen mengikut iklim tropika dan norma tempatan.

Pempengaruh fesyen Muhammad Shaffuan menjelaskan tarikan utama K-fesyen terletak pada keseimbangan antara struktur dan keselesaan.

“Berbanding fesyen Barat yang cenderung menonjolkan pernyataan berani, K-fesyen lebih menekankan siluet longgar, lapisan ringan dan tona natural yang mudah disesuaikan dengan gaya hidup tempatan.

“Trend ini menjadikan K-fesyen bukan sekadar estetika visual tetapi satu pendekatan berpakaian yang berfungsi,” kongsinya.

Katanya lagi, potongan oversized, tailoring santai, pakaian monokrom dan asas serba guna kini mendominasi gaya jalanan serta kandungan media sosial di Malaysia.

Gaya ‘effortless yet intentional’ yang sering dipaparkan dalam drama Korea telah diterjemah ke dalam konteks tempatan sebagai pakaian harian yang selesa, kemas dan tidak berlebihan.

Shaffuan menyatakan media sosial pula berperanan sebagai pemangkin utama penyebaran K-fesyen di Malaysia. Platform seperti Instagram dan TikTok membolehkan gaya harian dikongsi secara pantas dan bersifat realistik.

“Pengguna kini lebih tertarik kepada kandungan fesyen yang kelihatan boleh dicapai dan mudah ditiru.

“Hal ini selari dengan prinsip asas K-fesyen yang mementingkan kebolehgunaan berbanding keterlaluan,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Sherry Amin, seorang lagi figura gaya yang aktif dalam dunia fesyen tempatan, K-fesyen turut membawa unsur keseronokan dan ekspresi diri.

Dia melihat fesyen Korea sebagai gabungan elemen chic dan playful yang memberi ruang kepada individu untuk bereksperimen dengan lapisan, tekstur dan proporsi tanpa perlu mengorbankan keselesaan.

“Pendekatan ini amat serasi dengan iklim Malaysia yang panas dan lembap, di mana pakaian longgar dan fabrik ringan jadi pilihan utama

“Fenomena ini turut membawa dimensi baharu dalam ekspresi diri generasi muda Malaysia dan saya melihat K-fesyen sebagai medium keyakinan, di mana individu bebas menampilkan personaliti mereka melalui gaya yang ringkas tetapi bermakna.

“Ia bukan lagi tentang meniru sepenuhnya gaya Korea, sebaliknya menyesuaikannya dengan identiti tempatan dan keperluan sendiri,” tuturnya.

Melihat ke hadapan, ketiga-tiga sumber bersetuju bahawa masa depan K-fesyen di Malaysia akan terus berkembang ke arah fesyen gaya hidup.

Ia dijangka menjadi semakin lokal, praktikal dan berteraskan keselesaan tanpa kehilangan sentuhan estetik Korea.

K-fesyen tidak lagi dilihat sebagai trend sementara tetapi sebagai bahasa fesyen global yang fleksibel dan inklusif .

Kesimpulannya, kebangkitan K-fesyen di Malaysia mencerminkan perubahan sikap terhadap fesyen itu sendiri. Daripada simbol budaya pop, ia kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian iaitu satu pendekatan berpakaian yang menekankan keseimbangan antara fungsi, identiti dan ekspresi diri.

Dalam konteks ini, K-fesyen bukan sahaja mempengaruhi cara orang berpakaian tetapi juga cara mereka melihat diri mereka dalam dunia yang semakin terhubung secara budaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN