HULU SELANGOR – Seorang wanita maut selepas terjatuh dari motosikal ditunggangnya sebelum digilis kenderaan lain di Kilometer (KM) 405.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.44 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 45 tahun yang menunggang motosikal jenis SYM ADXT dalam perjalanan dari Rawang menuju ke Sik, Kedah.
“Mangsa yang bekerja sebagai pembantu operasi klinikal dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di lorong tengah sekitar pukul 6.20 pagi.
“Mangsa tercampak ke tengah jalan dan sebuah kereta dan lori dari arah yang sama tidak sempat mengelak sebelum mengilis penunggang motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ibrahim, dalam masa yang sama sebuah motosikal jenis BMW yang ditunggang sepasang suami isteri turut terlibat apabila cuba mengelak, namun dilanggar dari belakang oleh sebuah van yang dipandu lelaki berusia 28 tahun.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan bertugas sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
“Penunggang dan pembonceng motosikal BMW yang mengalami patah dan luka di kaki dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Polis sedang mengesan dua lagi kenderaan yang dipercayai turut terbabit dalam kemalangan tersebut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














