PETALING JAYA – Kemalangan bas persiaran yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berpunca daripada kegagalan sistem brek dan tindakan pemandu semasa menuruni cerun.
Maklumat itu diperoleh menerusi Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berkaitan nahas tersebut yang berlaku di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak pada 9 Jun tahun lalu.
Menurut laporan itu, sistem brek bas terjejas akibat perubahan bentuk dan kehausan brake drum belakang sebelah kiri, serta pencemaran gris atau minyak pada ‘brake lining’ dan ketidakseragaman komposisi bahan lining.
Keadaan tersebut mengurangkan daya geseran brek dan mempercepatkan berlakunya fenomena ‘brake fade’. Pada masa sama, bas persiaran tersebut dipandu pada kelajuan yang melebihi kelajuan selamat.
Analisis video menganggarkan kelajuan bas ketika kejadian sekitar 114.7 kilometer sejam (km/j) melepasi julat kelajuan kritikal bagi kejadian terbalik antara 111.3 hingga 114.5 km/j.
Sehubungan itu, penggunaan brek secara agresif pada kelajuan tinggi menyebabkan peningkatan suhu komponen brek secara mendadak, seterusnya memburukkan degradasi haba dan mengurangkan keberkesanan brek secara progresif.
Secara keseluruhan, siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada gabungan kompleks faktor mekanikal, manusia, persekitaran dan organisasi.
Kegagalan sistem brek bas yang tercemar dan tidak seragam, digabungkan dengan pemanduan pada kelajuan melebihi had selamat, telah menyebabkan kehilangan kawalan kenderaan.
Keadaan jalan yang mencabar, kelemahan reka bentuk dan pemasangan penghadang jalan, serta kegagalan struktur kabin bas telah meningkatkan keterukan impak dan kecederaan.
Di samping itu, amalan pengendalian tidak sah, ketidakpatuhan terhadap keperluan keselamatan, serta kelemahan kawal selia dan penguatkuasaan mencerminkan isu sistemik dalam industri pengangkutan pelancongan.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seramai 15 pelajar UPSI maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Gerik pada 9 Jun tahun lalu.
Ketika kejadian bas tersebut dalam perjalanan membawa pelajar ke kampus UPSI, Tanjung Malim dari Jerteh, Terengganu. – KOSMO! ONLINE














