JAGUH berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan membuat kemunculan semula di pusingan terakhir Kejohanan Trek Piala Dunia 2026 pada 24 hingga 26 April di Velodrom Nasional, Nilai nanti.
Perkembangan itu disahkan oleh jurulatih skuad berbasikal trek negara, Harnizam Basri yang memaklumkan pelumba itu kini berada pada fasa pemulihan positif biarpun mengalami penyusutan otot yang ketara akibat kecederaan sebelum ini.
Menurut Harnizam, perancangan asal untuk menurunkan Shah Firdaus di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) pada Mac di Filipina, namun memandangkan tempoh persiapan sembilan minggu dianggap terlalu suntuk.
“Sebenarnya kita sasarkan ACC pada Mac, tetapi bila diperiksa semula, tempoh sembilan minggu tidak mencukupi untuk Shah betul-betul cergas pada tahap terbaik.
“Jadi, kejohanan paling dekat untuk dia kembali beraksi adalah di Piala Dunia di Nilai pada hujung April nanti. Itu akan menjadi pertandingan pertama yang kompetitif,” katanya kepada Kosmo!.
Mengulas mengenai keadaan terkini Shah Firdaus, Harnizam mendedahkan pelumba itu sudah bebas daripada sebarang kesakitan, namun fokus utama kini terarah kepada proses membina semula otot.
Jelasnya, kecederaan dan tempoh pemulihan dialami Shah Firdaus selepas menjalani pembedahan tahun lalu menyebabkan otot paha kanan pelumba itu susut kira-kira tiga inci.
“Sekarang kita berada di fasa untuk membina semula ototnya sebelum beralih kepada latihan kekuatan pada kakinya.Memang dia kehilangan banyak otot, lilitan paha kanannya susut tiga inci.
“Namun, saya yakin dalam tempoh tiga bulan ini dia sempat untuk pulih dan membina semula kekuatan kayuhan,” katanya.
Dalam pada itu, Harnizam turut berkongsi petanda positif mengenai pelumba berusia 30 tahun itu apabila sudah mula menjalani latihan di trek minggu lalu dengan mencatat masa 10.4 saat dalam ujian pecut.
Kejohanan di Nilai nanti bakal menjadi medan penting buat Shah Firdaus untuk menilai tahap prestasi semasanya dalam misi memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik.














