JOHOR BAHRU – Sangkaan sepasang kekasih menyewa bilik studio mewah di sebuah kondominium di Bandar Medini, Iskandar Puteri di sini supaya tidak dihidu pihak berkuasa untuk melepaskan ‘rindu’ meleset apabila mereka dicekup berkhalwat dalam serbuan tengah malam semalam.
Serbuan yang dijalankan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dibuat hasil risikan selama beberapa bulan susulan aduan awam mengenai kegiatan maksiat yang didakwa semakin berleluasa dengan penggunaan bilik sewaan atau homestay yang ditempah secara dalam talian.
Menurut sumber JAINJ, sebaik tiba di lokasi, penguat kuasa mengetuk pintu bilik sebelum dibuka kira-kira lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang berpakaian seluar panjang dan baju T.
“Pemeriksaan awal mendapati keadaan bilik hanya diterangi lampu tidur dengan suasana samar-samar. Televisyen didapati ditutup sebelum penguat kuasa menyalakan semua lampu bilik.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan pintu tandas yang tertutup rapat dan disyaki terdapat individu lain bersembunyi di dalamnya. Lelaki berkenaan memaklumkan rakannya berada di tandas namun tidak memperincikan jantina.
“Selepas beberapa kali pintu diketuk tanpa sebarang respons, seorang wanita akhirnya keluar dari tandas kira-kira tiga minit kemudian. Wanita itu berpakaian skirt labuh dan baju berlengan panjang,”katanya.
Sumber itu berkata, hasil soal siasat mendapati pasangan berkenaan mengaku bukan suami isteri serta tidak mempunyai sebarang hubungan mahram.
Jelasnya, lelaki tersebut berusia lingkungan 30-an, masih bujang dan bekerja serta menetap di Johor Bahru manakala wanita berkenaan juga berusia sekitar 30-an bekerja di sebuah daerah lain di negeri ini.
Siasatan turut mendapati bilik studio kondominium tersebut disewa melalui sebuah aplikasi internet popular dengan bayaran dibuat secara dalam talian tanpa perlu berjumpa pemilik, sebaliknya hanya menggunakan akses ID yang diberikan.
Pasangan itu dipercayai masuk ke bilik berkenaan kira-kira pukul 11 malam selepas keluar makan dan bersiar-siar di sekitar bandar raya ini.
Wanita tersebut menaiki kenderaan sendiri ke rumah lelaki sebelum mereka bergerak bersama ke kondominium yang terletak kira-kira 30 kilometer dari kediaman lelaki berkenaan.
Bilik tersebut disewa atas nama wanita itu sendiri melalui aplikasi internet dan pasangan berkenaan dipercayai menganggap lokasi berkenaan selamat daripada pemeriksaan pihak berkuasa.
Pasangan berkenaan akhirnya ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana kesalahan berkhalwat.-KOSMO! ONLINE
Habis//














