MEREKA yang pertama kali melalui Taman Ria Jaya di Sungai Petani, Kedah pasti berasa hairan apabila melihat sebuah kolam besar yang terletak di belakang Masjid Sultan Abdul Halim.
Kolam sebesar tiga padang bola sepak dengan kedalaman melebihi 10 meter itu didakwa tidak mempunyai laluan air masuk atau keluar tetapi airnya tidak pernah kering sejak puluhan tahun lalu.
Difahamkan juga paras airnya tidak pernah berubah walaupun pada musim kemarau atau ketika hujan lebat dalam jangka masa panjang.
Bagi penduduk yang membesar di kawasan berdekatan, kolam itu mempunyai cerita misteri menakutkan dan masih menjadi bualan sehingga hari ini.
Salah seorang penduduk Taman Ria Jaya, Zulkifli Yaakob, 45, berkata, kolam tersebut dikatakan mempunyai pelbagai jenis ikan seperti patin, kaloi, toman dan ikan naga, namun bukan lokasi pilihan pemancing kerana gangguan makhluk halus.
“Saya sendiri pernah diusik langsuir beberapa kali semasa memancing di sini tetapi disebabkan sudah biasa serta mempunyai sedikit pendinding, usikan itu tidak saya hiraukan.
“Ketika pertama kali diusik, bulu roma saya meremang, jantung berdegup kencang, serta peluh jantan memenuhi badan semasa melihat sendiri langsuir menggoncang pokok buluh,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelasnya, kebiasaannya gangguan akan berlaku pada waktu azan Maghrib.
Sementara itu, seorang lagi penduduk tempatan, Hashim Embi, 61, berkata, dia pernah terkena usikan hantu air ketika memancing bersama beberapa rakan lain kira-kira enam bulan lalu.
“Waktu itu telah hampir senja tetapi disebabkan mata kail kami direntap pelbagai jenis ikan, kami seolah-olah leka dan enggan meninggalkan kawasan kolam itu.
“Tiba-tiba saya dan rakan terasa seperti dilanggar gumpalan angin yang kuat dan pada masa sama bulu roma meremang,” katanya.
Menurutnya, dia dan rakan kemudian berpandangan antara satu sama lain sebelum mereka membaca ayat Kursi secara serentak.
“Sebaik selesai membaca surah itu, kami melihat gumpalan angin itu menuju ke tengah kolam dan menyebabkan air di permukaan berpusing sebelum tenang semula lima minit kemudian.
“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, kami bergegas meninggalkan kawasan itu. Sehingga kini, kami tidak lagi pergi memancing di situ,” katanya.
Maaruf Jani, 58, seorang lagi pemancing berkata, dia pernah diusik pocong ketika memancing di situ setahun lalu.

“Semasa memancing di tepi pokok besar bersebelahan dengan stesen kecil jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB), saya tiba-tiba rasa tidak sedap badan seperti hendak demam.
“Selepas lima minit melempar kail, saya dikejutkan dengan satu bunyi kuat dari arah belakang seolah-olah seperti benda berat terjatuh.
“Sebaik menoleh, saya terkejut melihat pocong berdiri pada jarak kira-kira tiga meter memandang tepat ke arah saya,” katanya.
Menurut Maaruf, dalam keadaan itu dia tergamam dan kelu serta tidak mampu membaca apa jua ayat al-Quran untuk menghalau makhluk halus itu.
“Selepas beberapa minit kemudian baru saya mampu membaca surah Al-Ikhlas berulang kali sebelum menoleh ke belakang dan mendapati pocong itu tiada lagi dari pandangan,” ceritanya.
Kata Maaruf, beberapa hari kemudian dia berjumpa dengan kenalan lama bapanya dan menceritakan usikan di kolam tersebut.
“Kata pakcik itu, kolam berkenaan dahulunya menjadi tempat penganut satu agama membuang abu mayat selepas proses pembakaran dijalankan oleh mereka.
“Kolam itu turut dijadikan sebagai tempat mandi penganut agama berkenaan bagi menyucikan diri dalam satu proses ritual keagamaan.
“Ini kerana kawasan Taman Ria Jaya ini pada awal tahun 60-an dan 70-an merupakan kawasan estet,” katanya.
Maaruf menambah, pak cik itu turut memaklumkan, kawasan kolam berkenaan juga dijadikan sebagai tempat membuang saka dan makhluk halus oleh pengamal ilmu perubatan tradisional.
Selepas mengetahui perkara tersebut, dia tidak lagi meneruskan hobi memancingnya di kawasan kolam itu.














