fbpx
GAMBAR HIASAN

K2

Komplot gadis Indonesia dan ibunya rampas suami majikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAIK sahaja tamat pengajian di universiti, seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Amal mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan dengan teman lelakinya.

Amal mengakui kedudukan kewangan mereka pada masa itu tidaklah berapa baik kerana masing-masing baru menamatkan pengajian, manakala suaminya di peringkat awal pekerjaan.

“Tetapi bagi saya perkahwinan itu adalah satu rezeki. Allah akan mengurniakan rezeki kepada sesiapa yang berkahwin.

“Setelah berkahwin, saya tidak bekerja sebaliknya mengusahakan perniagaan dalam industri makanan dan minuman secara kecil-kecilan.

“Alhamdulillah dua tahun selepas itu, perniagaan yang saya usahakan itu semakin berkembang sehingga mampu untuk membuka sebuah kafe sendiri,” ujarnya kepada K2.

Amal berkata, perkahwinan mereka amat bahagia pada waktu itu, tambahan pula dikurniakan dengan seorang cahaya mata.

Namun, suaminya berhadapan dengan ujian pada waktu itu apabila kontrak pekerjaannya tidak disambung lalu memaksanya menganggur buat seketika.

Setelah berbincang, mereka kemudiannya mengambil keputusan untuk bersama-sama menguruskan perniagaan yang telah dibangunkan Amal apatah lagi perniagaan kafe miliknya itu telah berkembang dengan pembukaan cawangan kedua.

Perniagaan mereka amat baik dan Amal lebih banyak membiarkan suaminya menguruskan perniagaan mereka sewaktu dia sedang sarat mengandung anak kedua.

Setelah melahirkan cahaya mata kedua mereka, Amal telah mengupah seorang wanita warga Indonesia untuk membantunya sepanjang tempoh berpantang.

“Wanita ini kelihatan amat baik dan dia sebaya dengan ibu saya. Dalam masa sama, dia turut memiliki seorang anak perempuan yang berusia awal 20-an.

“Dia menyatakan bahawa anaknya itu sedang mencari pekerjaan. Disebabkan kasihan, saya mengupah anaknya itu menjadi pembantu rumah saya buat sementara,” katanya.

Tambahnya, suaminya juga bersetuju untuk mengupah gadis tersebut menjadi pembantu rumah sementara mereka.

Setelah tamat berpantang, Amal merasakan dia mampu menguruskan rumah tangganya itu dan meminta gadis itu mencari pekerjaan lain.

Namun, gadis itu menyatakan sukar baginya mencari kerja lain dan memohon diberikan peluang untuk terus bekerja.

Suaminya memberi cadangan agar gadis itu diambil bekerja di sebuah kafe milik mereka kerana kasihan melihatnya.

“Saya bersetuju pada waktu itu kerana kami juga sememangnya memerlukan pekerja pada ketika itu.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa pada ketika itu sehinggalah suatu hari mendengar cerita daripada teman-temannya yang melihat suaminya kelihatan amat mesra dengan gadis itu dan mereka keluar bersama,” katanya.

HUBUNGAN antara suami Amal dan gadis Indonesia itu diketahui oleh staf-staf kafe yang sering menyaksikan kemesraan mereka berdua.

Setelah mendapat perkhabaran itu, Amal mula curiga dengan suaminya dan dia memilih untuk menyiasat terlebih dahulu.

Dia sendiri telah pergi ke kafe miliknya yang diuruskan oleh suami lalu bertanyakan soalan kepada stafnya.

Staf di kafe tersebut menjelaskan daripada pemerhatiannya, mereka kelihatan mesra sekali dan ada masanya hilang seketika untuk keluar berdua.

“Saya turut memeriksa telefon pintar milik suami tetapi tiada apa yang mencurigakan.

“Pun begitu, pada waktu itu saya melihat tingkah laku suami saya cukup berbeza berbanding sebelum ini. Kadangkala dia akan keluar pada sebelah malam dan memberi alasan bertemu dengan rakan,” katanya.

Amal yang semakin curiga dengan suaminya itu mengupah seorang kenalannya untuk memantau suaminya.

Tindakan yang dilakukan itu tepat apabila kenalannya berjaya merakam gambar suaminya bersama dengan gadis itu yang kelihatan cukup mesra.

“Setelah mendapat bukti, saya terus menyerang suami saya dan gadis itu. Suami saya pada mulanya menafikan tetapi akhirnya gadis itu menyatakan mereka sememangnya mempunyai hubungan.

“Gadis itu sendiri menyatakan bahawa dia telah beberapa kali ‘terlanjur’ dengan suaminya itu dan dia bahkan menunjukkan gambar kemesraan mereka berdua,” katanya.

Tambahnya, bukan sahaja gadis itu menyasarkan suaminya, bahkan ibu kepada gadis itu juga mengetahui hubungan mereka dan sebolehnya mahukan anaknya merampas suami Amal kerana lelaki itu hidup senang.

Amal turut melakukan audit terhadap akaun kafe yang diuruskan suaminya dan mendapati ketidakseimbangan pada akaun. Rupa-rupanya suaminya telah membeli barangan mewah untuk gadis tersebut dengan hasil kafe.

“Suami saya mengakui perbuatannya, Dia amat menyesal tetapi dalam masa sama mencintai gadis itu dan ingin memperisterikannya. Pada mulanya saya ingin memaafkan suami tetapi apabila mengenangkan mereka berdua pernah ‘terlanjur’ membuatkan saya tidak dapat menerimanya,” katanya.

Amal mengambil keputusan untuk memfailkan penceraian dan akhirnya, mereka sah berpisah di sebuah mahkamah syariah. Selepas itu bekas suaminya telah mengahwini gadis Indonesia itu.
Bagi Amal, dia lebih rela berpisah daripada berkongsi kasih dengan wanita yang lain apatah lagi yang pernah berpura-pura baik di hadapannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN