RABAT – Senegal merangkul gelaran kedua Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) apabila berjaya memenangi edisi 2025 selepas menewaskan tuan rumah, Maghribi 1-0 pada aksi final di Stadium Prince Moulay Abdellah awal pagi semalam.
Bagaimanapun, kemenangan itu tidak hadir dengan mudah memandangkan perlawanan tersebut dihiasi dengan kontroversi apabila pemain-pemain Lions of Teranga cuba meninggalkan padang pada masa kecederaan separuh masa kedua.
Ia berikutan rasa tidak puas hati terhadap pengadil perlawanan, Jean-Jacques Ndala yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Maghribi pada minit ke-99 selepas merujuk Video Bantuan Pengadil (VAR) atas kekasaran dilakukan El Hadji Malick Diouf.
Keadaan tersebut menyebabkan jurulatih Senegal, Pape Thiaw seolah-olah hilang pertimbangan dan meminta semua pemainnya untuk meninggalkan padang dan masuk ke bilik persalinan sebagai tanda protes.
Ia menyebabkan perlawanan terhenti hampir 20 minit selain menyaksikan penonton, terutamanya penyokong Senegal meluahkan rasa tidak puas hati sehingga ada yang bertelagah dengan pasukan keselamatan.
Wira Senegal, Pape Gueye yang menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan berkata, dia dan rakan sepasukan mendapat semangat tambahan untuk berjuang kerana menganggap pasukannya dilayan secara tidak adil.
“Kami rasa Senegal dilayan secara tidak adil pada perlawanan hari ini (semalam). Sebelum Maghribi diberikan sepakan penalti, saya fikir kami sepatutnya mendapat satu gol, tetapi pengadil tidak merujuk kepada VAR.
“Sadio (Mane) meminta kami untuk kembali masuk ke dalam padang dan fokus pada perlawanan. Kemudian Edouard (Mendy) menyelamatkan sepakan penalti itu dan kami berjaya mengekalkan fokus sebelum menang,” katanya.
Maghribi mensia-siakan peluang untuk mencatat kemenangan di laman sendiri apabila pemain Real Madrid, Brahim Diaz gagal menyempurnakan sepakan penalti itu selepas cuba melakukan ‘panenka’ dan dinafikan Mendy.
Sementara itu, Thiaw mengakui beliau tidak sepatutnya membuat keputusan sedemikian, namun menegaskan, tindakan tersebut adalah disebabkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil perlawanan.
“Selepas berfikir mengenainya, saya sedar bahawa saya tidak sepatutnya memanggil pemain meninggalkan padang. Saya perlu meminta maaf, namun ia adalah tindakan spontan dalam keadaan cukup ‘panas’,” ujarnya.
Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua Senegal memenangi piala teragung bola sepak Afrika itu selepas turut melakukannya pada edisi 2021. – AGENSI














