AMPANG JAYA – Kejadian gelinciran tanah yang berlaku di Jalan Saga 17, Taman Bukit Teratai di sini, pagi semalam dipercayai berpunca daripada saliran paip dalam tanah yang pecah.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam kenyataan berkata, Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts Hasrolnizam Shaari telah turun padang bagi meninjau dan memantau segera keadaan di lokasi kejadian.
Menurut kenyataan itu, pemerhatian awal oleh Jabatan Kejuruteraan MPAJ mengesyaki punca kejadian berpunca daripada saliran paip milik Indah Water Konsortium (IWK) yang pecah sehingga menyebabkan pergerakan tanah berlaku di kawasan berkenaan.
“Susulan kejadian itu, sebuah kenderaan yang terlibat telah dialihkan oleh Jabatan Penguatkuasaan MPAJ bagi memastikan keselamatan orang awam.
“MPAJ turut mengambil tindakan menutup kawasan terlibat sementara kerja-kerja pembaikan dan pemantauan dijalankan bagi menjamin keselamatan penduduk setempat,” katanya, hari ini.
MPAJ berkata, Hasrolnizam turut mengarahkan semua kenderaan yang diparkir di sepanjang laluan berhampiran supaya dikosongkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Tambahnya, pihaknya akan terus memantau situasi dan mengambil langkah sewajarnya demi keselamatan serta kesejahteraan komuniti setempat.
Kosmo! sebelum ini melaporkan satu kejadian tanah runtuh setinggi kira-kira 20 kaki dilaporkan berlaku di Taman Bukit Teratai, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.19 pagi. – KOSMO! ONLINE














