PETALING JAYA – Ketua Kardiologi dan Pengarah Perkhidmatan Kegagalan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr. Azmee Ghazi dipilih menyertai pasukan perubatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bagi prosedur pembedahan baginda.
IJN dalam kenyataannya, pihaknya berbesar hati terhadap pemilihan beliau, sekali gus mencerminkan kepercayaan tinggi terhadap kepimpinan klinikal dan kepakaran pakar IJN dalam memberikan tahap penjagaan kesihatan yang tertinggi.
“Jemputan untuk terlibat dalam menyumbang kepakaran bersama pasukan perubatan khusus Sultan Brunei merupakan pengiktirafan profesional amat bermakna.
“Ia mengukuhkan lagi kedudukan IJN sebagai pusat kecemerlangan serantau dengan kepakaran yang mendapat pengiktirafan melangkaui sempadan negara bagi rawatan kardiovaskular yang kompleks dan bertaraf tinggi, hasil pengalaman puluhan tahun, pencapaian klinikal dan pematuhan kepada piawaian tanpa kompromi,” kata IJN hari ini.
Menurut IJN, penglibatan Dr. Azmee juga merupakan bukti kepimpinan beliau dalam bidang kardiologi lanjutan dan pengurusan kegagalan jantung serta mencerminkan komitmen IJN dalam melahirkan pakar yang memenuhi penanda aras antarabangsa tertinggi.
“Di IJN, kami sentiasa bersedia untuk menyalurkan kepakaran kami di mana dua diperlukan berpandukan profesionalisme, ketepatan dan tanggungjawab berterusan untuk berkhidmat.
“IJN merakamkan setinggi-tinggi harapan agar prosedur pembedahan berjalan dengan jayanya serta dikurniakan kesembuhan segera kepada Sultan Hassanal Bolkiah ketika baginda menjalani prosedur pembedahan yang penting ini,” menurut IJN. – KOSMO! ONLINE














