Saudara Pengarang,
Keluhan pengguna jalan raya yang terpaksa melalui jalan yang ditampal secara ala kadar atau tidak sempurna oleh syarikat utiliti yang melakukan aktiviti pengorekan lubang untuk melakukan kerja mereka nampaknya seperti tiada kesudahan.
Pihak terbabit hanya tahu mengorek lubang dan membiarkan jalan tersebut dalam keadaan tidak sempurna selepas menampalnya.
Ini yang berlaku di laluan utama Kampung Giching, Sepang, Selangor yang mana proses penampalan jalan itu sudah lebih tiga bulan dibuat, namun jalan itu dibiarkan tidak rata dan beralun.
Perkara ini menimbulkan ketidakpuasan hati pengguna yang bimbang keselamatan mereka sewaktu menggunakan laluan berkenaan disebabkan berkemungkinan boleh berlaku kemalangan disebabkan keadaan jalan yang teruk itu.
Dalam hal ini pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan perlu memantau perkembangan itu kerana pengguna hanya mahu jalan yang mereka lalui itu berada dalam keadaan baik seperti sebelum dikorek.
Jangan pula hanya bertindak selepas berlaku kemalangan atau kehilangan jiwa terutamanya membabitkan penunggang motosikal yang sering berulang-alik ke tempat kerja melalui jalan berkenaan.
Kalau boleh berilah amaran atau mengambil tindakan tegas ke atas kontraktor yang membuat kerja-kerja sambil lewa dan lepas tangan selepas projek mereka siap.
Pastikan selepas ini penurapan jalan dilakukan dengan sempurna selepas kerja-kerja pengorekan lubang bagi menjamin keselamatan kepada pengguna jalan raya.
Insan kecewa
Sepang, Selangor














