fbpx
Antara aktiviti permainan yang diatur semasa program.

Santai Sekampung satukan mahasiswa dan komuniti desa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UNIVERSITI bukan sahaja medan untuk menuntut ilmu, bahkan membentuk keperibadian diri menerusi program-program kemasyarakatan.

Baru-baru ini, seramai 160 peserta melibatkan 100 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan 60 penduduk Kampung Padang Maras, Batu Rakit, Terengganu menyertai program Santai Sekampung yang berlangsung di Kopi Sawah, Kampung Padang Maras.

Program berkenaan dianjurkan oleh pelajar Kursus Asas Keusahawanan dan Asas Budi Penyayang UniSZA dengan kerjasama Terengganu Incorporated sekali gus menjadi platform mengeratkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat.

Menariknya, program ini merupakan penganjuran pertama yang dilaksanakan sepenuhnya pelajar dari peringkat awal bermula dengan penghasilan kertas kerja, medapatkan penajaan, penentuan lokasi penganjuran hinggalah pembahagian tugasan.

Pendekatan ini memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar mengenai pengurusan program sebenar di luar bilik kuliah.

Program ini diketuai dua pengarah program iaitu Ahmad Nizam Mat Isa, 20, iaitu pelajar semester dua Diploma Undang-Undang dan Ahmad Syahid Addin Salehuddin, 18, pelajar semester dua Diploma Syariah.

Menurut Ahmad Nizam, menerusi penglibatan secara langsung, pelajar bukan sahaja mempelajari aspek perancangan dan pelaksanaan aktiviti, malah turut diasah dengan kemahiran komunikasi, kepimpinan serta kerjasama berpasukan, selari dengan keperluan industri serta pembelajaran berasaskan pengalaman.

“Pelbagai aktiviti sukaneka telah dianjurkan dengan menggabungkan pelajar dan komuniti kampung dalam satu kumpulan.

“Ini sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan antara generasi,” katanya.

Keriangan terpancar di wajah para pelajar UniSZA dan penduduk kampung ketika bergambar kenangan usai program di Kopi Sawah, Kampung Padang Maras, Batu Rakit, Terengganu yang dianjurkan pelajar Kursus Asas Keusahawanan dan Asas Budi Penyayang UnisZA dengan kerjasama Terengganu Incorporated.

Majlis penutup program dimeriahkan dengan persembahan tarian silat gayong ota-ota, antara tarian warisan yang masih wujud di Malaysia.

Ini sekali gus menjadi medium pemeliharaan dan pengenalan khazanah budaya tempatankepada generasi muda.

Program turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.

Menceritakan pengalaman, Ahmad Nizam memberitahu, program tersebut merupakan pengalaman terbaharu buatnya dalam merangka program bersama komuniti kampung.

“Dari peringkat perancangan awal sehingga ke hari pelaksanaan, setiap fasa memberikan pendedahan yang sangat bermakna tentang realiti kerja lapangan dan keperluan memahami kehendak masyarakat setempat.

“Program ini bukan saja menguji keupayaan pelajar dari segi pengurusan dan kerjasama berpasukan, malah membuka ruang pembelajaran secara langsung tentang komunikasi, toleransi serta nilai kebersamaan pelajar dan penduduk kampung.

“Pengalaman ini menjadikan proses pembelajaran kami lebih holistik kerana pelajar dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam situasi sebenar, di samping membina keyakinan diri dan rasa tanggungjawab terhadap komuniti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN