KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) hari ini menarik balik kenyataan beliau sebelum ini yang menyentuh mengenai kewujudan dua kem di dalam parti DAP.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau turut bersetuju dengan respon Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mengatakan tidak ada Team A dan Team B dalam DAP.
“Saya turut bersetuju dengan beliau, malah maksud saya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung 2025 itu adalah cuma untuk memperjelaskan bahawa terdapat kenyataan-kenyataan yang bercanggah dari segelintir kecil kepimpinan DAP terhadap apa yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh.
“Maka diperjelaskan bahawa isu-isu yang dibangkitkan itu bukan merupakan asas kepada keputusan rasmi parti tetapi dibangkitkan oleh mereka yang merupakan satu kumpulan kecil terhadap apa yang dinyatakan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ketika sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung PPP ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Ahmad Zahid turut menyatakan kesediaan untuk menarik balik kenyataan tersebut sekiranya ia telah mengguris hati rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan itu.
“Jika kenyataan itu menyinggung DAP, saya menarik balik apa yang saya sebutkan.
“Tidak langsung menjadi maksud saya untuk menggambarkan wujudnya dua kem dalam parti berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kepimpinan BN bersetuju bahawa pandangan peribadi daripada mana-mana kumpulan kecil yang berbeza pendapat tidak seharusnya dianggap sebagai pendirian rasmi sesebuah parti.
“Kita tidak seharusnya mengambil pandangan daripada kumpulan yang berbeza pendapat dengan kepimpinan utama DAP sebagai pendirian rasmi mereka.
“Saya harap perkara ini dapat difahami oleh semua pihak,” katanya. – KOSMO! ONLINE














