fbpx
Hannah Yeoh ketika berucap pada majlis pelancaran Festival Seni Bina Kuala Lumpur (KLAF) 2026 di REXKL. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

Ketiadaan ruang mandi awam jejaskan aktiviti fizikal wanita bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penyediaan ruang awam yang lebih mesra pengguna, termasuk kemudahan mandi awam, menjadi antara fokus utama usaha membentuk semula bandar raya Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pembangunan bandar perlu mengambil kira gaya hidup sihat komuniti bandar dan tidak boleh bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata.

Menurutnya, kekurangan kemudahan asas seperti bilik mandi awam memberi kesan kepada penyertaan orang ramai dalam aktiviti fizikal, khususnya untuk golongan wanita.

“Antara perkara pertama yang kami beri perhatian ialah penyediaan ruang mandi awam. Jika kita mahu menggalakkan gaya hidup sihat, infrastruktur perlu wujud untuk menyokongnya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kuala Lumpur Architecture Festival (KLAF) 2026 di RexKL, di sini, hari ini.

Tambahnya, bagi mewujudkan ruang awam yang mengambil kira gaya hidup sihat, kerajaan akan bekerjasama dengan beberapa pemegang taruh.

“Pendekatan tersebut penting bagi memastikan kemudahan awam yang dibangunkan dapat memenuhi keperluan masyarakat bandar.

“Seni bina bukan sekadar menghasilkan bangunan ikonik, tetapi berperanan membentuk kualiti hidup dan identiti bandar,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM), Ar. Adrianta Aziz berkata, tema KLAF 2026 mencerminkan visi jangka panjang terhadap peranan seni bina dalam masyarakat.

“Reka bentuk yang baik perlu berpaksikan konteks setempat, pengalaman hidup dan identiti komuniti, di samping memenuhi keperluan masa depan,” katanya.

KLAF 2026 bertemakan Future Culture akan berlangsung sepanjang tahun dan menampilkan pelbagai program melibatkan pemain industri, pelajar serta orang awam bagi membincangkan masa depan pembangunan bandar dan persekitaran binaan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI