KUALA TERENGGANU – Gara-gara takut digertak sindiket penipuan atau ‘scammer’ kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, seorang perniagaan terperdaya sehingga kerugian lebih RM2.71 juta.
Lelaki warga emas berusia 64 tahun itu yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu di sini semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, pada mulanya, ahli perniagaan tersebut telah dihubungi individu tidak dikenali mendakwa kononnya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor.
“Panggilan kemudiannya disambung kepada suspek lain mengaku kononnya Timbalan Pendakwa Raya.
“Terkejut mangsa apabila didakwa suspek kononnya dia terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Khairi berkata, lelaki warga emas itu yang ketakutan tersebut akur dengan arahan suspek agar mendedahkan maklumat pembankannya kononnya bagi tujuan penyiasatan dan penyelesaian kes.
Beliau berkata, ahli perniagaan tersebut juga tidak dibenarkan melakukan sebarang transaksi melibatkan akaun banknya tersebut dalam tempoh lima bulan bermula September tahun lalu.
“Mangsa turut tidak dibenarkan memeriksa akaun banknya yang mengandungi RM2,707,965 sepanjang tempoh sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE














