WASHINGTON – Rakaman video definisi tinggi yang tidak pernah dilihat sebelum ini mengenai satu suku kaum Amazon yang belum pernah dihubungi manusia telah didedahkan, lapor portal berita The New York Post semalam.
Ia didedahkan dalam satu temu bual terbaru antara seorang ahli pemuliharaan dari Amerika Syarikat, Paul Rosolie dan pengacara audio siar, Lex Fridman.
Rosolie yang telah menghabiskan dua dekad bekerja di Amazon berkata, detik itu merupakan antara pengalaman paling mendalam yang pernah dialaminya.
“Untuk memastikan semua ini masuk akal, saya perlu menunjukkan rakaman ini kepada anda. Rakaman ini tidak pernah ditayangkan sebelum ini. Ini adalah yang pertama di dunia,” katanya kepada Fridman.
Sebelum ini, rakaman suku kaum yang tidak pernah dihubungi selalunya kabur dan pada kebiasaannya dirakam dari jarak jauh menggunakan peralatan kamera lama.
Dalam klip video tersebut, suku kaum itu muncul di sebuah pantai.
Mereka bergerak dengan berhati-hati dan terkoordinasi, memerhati orang asing sambil cuba meneliti setiap perincian serta menganalisis potensi ancaman.
Rosolie mengingati bagaimana dia memerhati bahasa tubuh mereka dengan teliti ketika mereka berkumpul dalam formasi sambil memegang senjata.
“Lihat cara mereka bergerak. Lihat cara mereka menunjuk. Lihat lelaki itu dengan busurnya,” katanya sambil menunjuk kepada seorang lelaki yang sedang memasang anak panah pada busur.
Beliau berkata pada awalnya, suasana terasa seolah-olah keadaan akan menjadi tidak terkawal dan bertukar ganas.
Namun kemudian keadaan berubah apabila jarak semakin dekat, kaum itu mula menurunkan senjata mereka.
“Apabila semakin hampir, mereka mula meletakkan senjata. Lihat, dia sedang meletakkan busur dan anak panahnya. Mereka faham,” katanya.
Ketegangan itu dengan cepat bertukar menjadi rasa ingin tahu, malah beberapa orang daripada mereka menunjukkan sedikit rasa terhibur. – AGENSI














