MEMINATI bidang kecantikan sejak kecil, Siti Sarah Mohamad Hata atau lebih dikenali sebagai Sarah Hata kini boleh berbangga apabila bergelar Perunding Imej dan Warna bertauliah sejak kira-kira 15 tahun lalu.
Meskipun berlatar belakang dalam perakaunan dan kewangan, namun minat dalam bidang kecantikan tidak pernah padam.
Biarpun dalam kesibukan bekerja, namun dia masih menggagahkan diri mengambil beberapa kursus kecantikan bagi memantapkan lagi kemahirannya.
“Saya bermula sebagai jurusolek (MUA) sambilan. Hasil bayaran yang diterima, saya sedikit demi sedikit membeli peralatan solekan dan ‘upgrade’ diri dengan mengikuti kursus kecantikan serta perundingan imej.
“Selepas itu, tawaran dalam kecantikan dan perundingan imej semakin banyak hingga membuatkan saya bertekad untuk berhenti kerja sebagai eksekutif akaun di sebuah syarikat cari gali minyak.
“Walaupun gaji pada ketika itu sudah selesa, namun saya tidak menyesal berhenti kerja kerana menjadi perunding imej bagaikan impian menjadi nyata,” katanya kepada K-Wanita.
Sejak itu, Sarah Hata terus bergerak ke hadapan dengan menawarkan khidmat perundingan imej kepada pelbagai klien seperti syarikat korporat, agensi kerajaan, swasta dan individu.
Jelasnya, dia turut menerima permintaan daripada klien kenamaan bagi memberi konsultansi secara peribadi terutama untuk ke istana.
Misalnya, dia perlu menasihati dari segi pemilihan pakaian bersesuaian, warna, etiket dan komunikasi.
Mengulas lanjut mengenai bidang tugas sebagai perunding imej, Sarah Hata memberitahu, dia perlu memberi bimbingan dan nasihat kepada seseorang mengenai cara untuk mendapatkan imej yang bagus dengan menganalisi warna supaya nampak lebih berseri.
“Seterusnya, pemilihan baju yang bersesuaian dengan bentuk badan dan muka.
“Tidak dilupakan etiket dan komunikasi, ada bermacam-macam jenis seperti bisnes etiket (cara duduk, bersalam, menyapa dan lain-lain). Oleh itu, semua ini memerlukan perunding imej berpengetahuan luas dan bertauliah yang diiktiraf menerusi pensijilan.
“Saya sendiri mempunyai pelbagai pensijilan seperti Perunding Imej Profesional Bertauliah daripada Akademi Perunding Imej Malaysia; Penguasaan dalam Warna, Fesyen dan Gaya dari Ferial, Australia; Program Neuro Linguistik Bertauliah, Indonesia; Jurulatih Penjagaan Kulit Bertauliah, Ellie Glow, Amerika Syarikat dan Jurulatih HRD Corp Bertauliah, Malaysia,” ujar ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Kongsi Sarah, kursus-kursus untuk bergelar perunding imej memerlukan kos agak besar iaitu sekitar RM6,000 hingga RM10,000.
Sementara itu, bagi bergelar jurulatih bertauliah, ia memerlukan pensijilan lain dengan anggaran kos kira-kira RM2,000 hingga RM4,000.
Walaupun perlu mengeluarkan sejumlah wang besar, namun Sarah Hata berpuas hati kerana pulangannya lebih lumayan.
Hal ini kerana, ilmu dan pensijilan itu jauh lebih bernilai untuk dia mengukuhkan nama dalam industri tersebut.
Sarah Hata juga mengasaskan SH Grooming Academy yang menjadi platform penting untuk ‘memasukkan’ semua perkhidmatan perundingan imej di bawah satu bumbung bersama pasukan-pasukan berpengalaman dan bertauliah.
“Di samping menawarkan perkhidmatan, saya juga aktif berkongsi ilmu kepada orang ramai di platform Facebook (SH Grooming & Sarah Hata), TikTok (SH.Grooming), laman web (www.shgrooming.com) dan e-book.
“Saya juga telah menghasilkan empat buah buku berkaitan perundingan imej dan kecantikan iaitu bertajuk, A-Z Tentang Imej, Berjaya Dengan Warna, Pandangan Pertama Wow dan Rahsia Komunikasi Menarik,” katanya.
Akuinya, bergelar perunding imej, isteri serta ibu membuatkan rutin hariannya sangat sibuk.
Namun dia bertuah kerana mempunyai suami yang sangat menyokong, memahami serta banyak membantu.
“Saya sangat bersyukur kerana mempunyai suami yang menyokong penuh dan memahami. Tanpanya, saya tidak dapat meneruskan kerjaya ini.
“Kami menguruskan rumah dan anak-anak tanpa bantuan pembantu rumah kerana suami lebih selesa begitu.
“Ketika saya berada di luar kawasan, suami akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga anak-anak,” ujarnya yang meminati warna ungu.














