fbpx
PRODUK kosmetik mahupun suplemen makan yang terdedah dengan risiko bahaya kesihatan terutamanya hanya tujuan kecantikan adalah dilarang. - GAMBAR HIASAN

Hukum ambil suplemen pemutih kulit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini, dilaporkan bahawa suplemen pemutih terdedah kepada risiko keselamatan yang boleh menyebabkan radang hati termasuk kegagalan organ terutamanya apabila  mengan­dungi bahan beracun atau ubat berjadual dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan. Apakah sudut pandangan syariah berkaitan hukum suplemen pemutih terutamanya apabila mula mengancam kesihatan? 

JAWAPAN: MANUSIA secara fitrahnya sukakan keindahan, perhiasan dan kecantikan (al-Jamal). Perkara tersebut diiktiraf oleh syarak melalui petunjuk dalil berikut:

Firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?” (Surah al-A’raf, 3)

Al-Maraghi mentafsirkan ayat ini bahawa Allah SWT menjadikan perhiasan dengan mencipta bahan-bahannya dan mengajarkan cara yang sesuai dengan fitrah berdasarkan kecintaan manusia terhadap penggunaannya. 

Oleh yang demikian, syarak tidak mengharamkan perhiasan bagi kesempurnaan kualiti kehidupan.

Daripada Ibn Mas’ud, bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kepada kecantikan.” (Riwayat Muslim)

Islam mengajar umatnya untuk tampil kemas, cantik dan rapi. Namun persoalannya, cantik yang bagaimana? Kecantikan yang dituntut ialah kecantikan yang patuh syariah, nilai adab dan tidak membawa kepada fitnah.

Sementara, Maqasid Tahsiniyyat (kamaliyyah) berfungsi untuk memperbaiki keadaan manusia bagi menyempurnakan kehidupan sebaik-baiknya dan melengkapkan kebahagiaannya di dunia dan akhirat dengan segala perkara daripada amalan serta adat yang baik. 

Manakala, Syeikh Muhammad al-Tahir Ibn ‘Ashur mendefinisikan maslahah tahsiniyyat adalah perkara-perkara yang dapat menyempurnakan keadaan sistem kehidupan umat yang stabil dan imej cara hidup. 

Keindahan adat kebiasaan terhasil daripada cara mengurus kehidupan melalui perhiasan diri serta adab-adab yang merujuk kebaikan dan kemuliaan bersifat tambahan dalam kerangka menyempurnakan kehidupan.

Merujuk pada isu yang dibahaskan, penggunaan suplemen pemutih bagi usaha untuk memiliki anggota badan cerah, sekali gus mengembalikan tona kulit asal wajah tidak sekata akibat pendedahan langsung pada cahaya matahari yang berpanjangan adalah diharuskan. 

Perkara tersebut termasuk dalam aspek tahsiniyyah untuk kesempurnaan anggota zahir. 

Produk kosmetik mahupun suplemen makan yang terdedah dengan risiko bahaya kesihatan terutamanya hanya tujuan kecantikan adalah dilarang.  

Kecantikan yang sebenarnya tidak seharusnya bergantung semata-mata produk vitamin putih, malah perlu ada gabungan dengan gaya hidup sihat dan rutin penjagaan kulit.

Kesimpulannya, hukum makan suplemen pemutih bagi tujuan mengembalikan tona wajah asli dan merawat wajah kusam disebabkan terdedah secara langsung dengan cahaya matahari dan mengatasi masalah pigmentasi kulit adalah harus dengan ketetapan syarat berikut. 

Pertama, tujuan merawat bagi menghilangkan aib cela pada wajah yang kusam. Kedua, tidak terdedah pada risiko bahaya dari segi kesihatan di samping pemantauan pakar. 

Ketiga, memastikan memilih sumber bahan yang suci dan diyakini halal. Akhir sekali, rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaan-Nya dari segi bentuk asal yang bertujuan semata-mata untuk menzahirkan kecantikan (tahsiniyyah) adalah haram dan hanya diterima pada situasi darurat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI