BANGKOK – Seekor ular katam kepala merah yang jarang ditemukan dan sangat berbisa dikesan di Taman Negara Kaeng Krachan, Thailand, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Seorang renjer taman itu merakam gambarnya semasa rondaan rutin di Gunung Phanoen Thung.
Ular tersebut dikenali dengan ciri-cirinya iaitu badan hitam berkilat, kepala dan ekor berwarna merah terang.
Penemuan jarang itu disahkan oleh ketua taman negara berkenaan, Mongkhon Chaipakde dengan menyatakan bahawa ular tersebut dirakam oleh Busakorn Kantook, seorang pegawai yang bertugas di pusat pemeriksaan Phanoen Thung.
Menurut Mongkhon, ular itu mendiami hutan hujan tropika di Asia Tenggara termasuk Thailand, dan kebanyakannya ditemui di kawasan selatan negara tersebut.
Penemuan spesies itu jarang berlaku dan bisanya menimbulkan risiko serius kepada manusia.
Beliau menambah bahawa gigitan ular tersebut memerlukan rawatan segera di hospital susulan tahap bisa yang sangat kuat dan mungkin tiada penawar, lapor laman berita Dailynews. – AGENSI














