KUALA NERUS – Seorang penduduk Kampung Pantai, Batu Rakit di sini hanya mampu mengalirkan air mata selepas rumah pusaka keluarga yang berusia lebih 80 tahun musnah akibat hakisan pantai pada November tahun lalu.
Zamri Sulong, 43, berkata, rumah pusaka yang dibina datuknya pada tahun 1940-an sudah tidak mampu menahan ombak besar sebelum roboh dalam sekelip mata.
“Pada mulanya, tebing rumah ini terhakis sedikit demi sedikit ekoran ombak besar sejak September lalu. Hakisan kemudian merebak ke tapak rumah yang roboh sepenuhnya dalam masa seminggu hujung tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Zamri memberitahu, dia sekeluarga bernasib baik kerana mengambil langkah segera berpindah sebelum kediaman tersebut roboh sepenuhnya.
Disebabkan kejadian fenomena alam itu, Zamri kini terpaksa menyewa rumah lain yang terletak di kawasan berhampiran.
“Tiada lagi rumah yang menjadi saksi suka duka keluarga besar kami selama ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Manan Ali, 72, memberitahu, tanah miliknya yang pernah didirikan kedai makan dan bangsal untuk menjemur sotong dan ikan turut tenggelam ke laut pada tahun lalu.
“Sewaktu saya mendirikan bangsal tersebut pada 1986, kedudukannya terletak lebih 100 meter dari pantai.
“Siapa sangka tapak bangsal tersebut termasuk kedai makan di hadapannya sudah ditelan laut sehingga menyebabkan kerugian lebih RM20,000 tidak termasuk nilai semasa hartanah,” katanya.
Manan berkata, dia kini terpaksa membina bangsal menjemur sotong dan ikan baharu di rumahnya yang terletak agak jauh dari pesisir pantai.














