fbpx
David Teo nafi 'menunggang' isu sensasi yang terpalit pada Aliff Aziz dan Uqasha Senrose.

‘Kita bukan Tuhan nak hukum’ – David Teo ‘satukan’ Uqasha, Aliff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tular gambar Uqasha Senrose dan Aliff Aziz di pejabat Metrowealth International Group (MIG), penerbit David Teo nafi menunggang kontroversi membabitkan kedua-dua pelakon terbabit, sebaliknya mengambil mereka atas dasar profesionalisme.

Pemilik syarikat itu berkata, nama mereka dipilih penyedia penstriman over-the-top iQIYI bagi drama bersiri Madu atau Racun selepas beberapa calon lain menarik diri atas beberapa alasan.

“Dari segi pemilihan pelakon kita ikuti permintaan pihak saluran dengan mengusulkan lima nama, bukan sengaja meletakkan Uqasha dan Aliff saja sebagai calon hero serta heroin.

“Kedua-duanya pernah bekerja dengan MIG sebelum ini. Jadi kami tahu komitmen dan cara kerja mereka. Ini tiada kena mengena dengan sebarang kontroversi.

“Saya juga anggap pembabitan mereka dengan drama ini seperti jodoh. Kita tidak menilai hal peribadi, tetapi hasil kerja mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Menyentuh mengenai komen netizen mahu memboikot naskhah gandingan kedua-duanya, David berharap orang ramai bertenang, sekali gus memberi peluang kepada mereka.

Katanya, setiap insan tidak sempurna, bahkan seperti dalam isu membabitkan Uqasha, takdir menentukan rumah tangganya dengan aktor Kamal Adli berakhir dengan perceraian.

Bahkan, akui David lagi manusia hanya insan biasa yang sewajarnya tidak mengambil alih kerja Tuhan untuk menjatuhkan hukuman terhadap insan lain.

“Siapa kita untuk menolak takdir. Macam Aliff, dia sudah mengakui kekhilafan ketika melayari rumah tangganya dulu. Dia mahu buka buku baharu.

“Uqasha pula kini bergelar ibu tunggal kepada seorang anak. Dia nak bekerja mencari rezeki, jadi kita buka lah peluang itu.

“Kita bukan Tuhan nak menghukum mereka. Saya harap kita semua saling memaafkan supaya hati lebih tenang,” ujarnya

Terdahulu, menerusi Instagram, produser filem dan drama terbabit berkongsi gambar dengan kedua-dua bintang sensasi itu sekali gus memberi bayangan mereka bakal dipadankan dalam produksi terbaru syarikatnya.
.
Dalam ruangan kapsyen, dia menyatakan bekas suami kepada pelakon Bella Astillah itu akan digandingkan dengan Uqasha sebagai teraju utama drama berjudul Madu atau Racun.

“Hero heroin la ye? Yang Manis Itu Madu yang pahit itu racun, ekslusif di iQIYI, drama ,” tulisnya.

Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen terutama pendirian untuk tidak menonton drama berkenaan sekiranya direalisasikan.

“Terima kasih satukan mereka. Sekurang-kurangnya senang nak pilih drama yang tak nak tengok,” kata netizen.

“Alhamdulillah, bertambah semangat tak nak tengok drama Melayu,” tulis seorang pengguna Instagram lain.

Aliff sebelum ini bercerai talak dua dengan Bella pada 13 Jun 2024, manakala Uqasha pula berpisah secara rasmi dengan Kamal Adli pada 12 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN