JOHOR BAHRU – Kertas siasatan terhadap lelaki warganegara China yang memasang bendera Malaysia secara terbalik di sebuah premis di kawasan Taman Eko Perniagaan 2, Senai Airport City, Senai, Ahad lalu sudah siap dan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya kini sedang menunggu arahan lanjut daripada DPP untuk tindakan selanjutnya.
“Kertas siasatan telah pun kita rujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan masih menunggu arahan lanjut sama ada ingin meneruskan pertuduhan ataupun tidak.
“Atau mungkin ada perkara-perkara lain yang perlu untuk dijalankan siasatan lanjut oleh pihak Polis Johor,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Johor Bagi Bulan Januari di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Isnin lalu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki warganegara China berusia 38 tahun ditahan bagi siasatan kes bendera Malaysia yang dipasang terbalik di premis berkenaan.
Ditanya sama ada akan mengambil tindakan terhadap majikan suspek di kilang itu, Ab Rahaman berkata, ia masih dalam siasatan dan pihaknya akan merujuk kepada DPP.-KOSMO! ONLINE














