MELAKA – Seorang buruh binaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul lelaki warga emas yang juga pemandu e-hailing, bulan lalu.
Tertuduh, M. Muthupalani, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa semasa berada di dalam kereta Perodua Bezza dalam perjalanan dari NSK Cheng ke Medan Selera Cheng dalam daerah Melaka Tengah telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 65 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 9.25 malam, 29 Disember 2025. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Peguam S. Daniel bagaimanapun merayu supaya jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung dua anak serta isteri yang tidak bekerja, selain ibu bapa uzur di India.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 3 Mac depan untuk sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE














