SERDANG – Inisiatif FlySiswa yang kini memberi manfaat kepada puluhan ribu pelajar hasil daripada langkah kerajaan menjana dana melalui penjualan nombor pendaftaran khas kenderaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ketika program itu diperkenalkan pada 2023, tiada peruntukan khusus disediakan untuk membantu pelajar menampung kos penerbangan domestik.
Menurutnya, Kementerian Pengangkutan mengambil inisiatif sendiri dengan memperkenalkan nombor pendaftaran khas bagi menjana pendapatan bagi melaksanakan program tersebut.
“Kita cipta nombor pendaftaran khas dan hasil jualannya digunakan sepenuhnya untuk membantu pelajar,” katanya ketika merasmikan Karnival Pengangkutan Siswa Madani & FlySiswa 2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Anthony berkata, pendekatan itu membuktikan kerajaan tidak semestinya bergantung sepenuhnya kepada peruntukan sedia ada bagi melaksanakan inisiatif kebajikan.
Tambahnya, hasil yang dikumpul digunakan untuk menampung subsidi penerbangan pelajar, khususnya melibatkan perjalanan antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Beliau berkata, selepas kejayaan pelaksanaan tahun pertama, kerajaan melalui Kementerian Kewangan bersetuju menyalurkan peruntukan tetap bagi memastikan FlySiswa diteruskan sebagai program tahunan.
Menurutnya, langkah itu membolehkan program berkenaan tidak lagi bergantung kepada sumber dana alternatif seperti sebelum ini.
Beliau menegaskan, pendekatan menjana dana melalui penjualan nombor pendaftaran khas membuktikan kreativiti pentadbiran dalam mencari penyelesaian segera kepada masalah rakyat. – KOSMO! ONLINE














