JOHOR BAHRU – Anggota polis berpangkat konstabel yang tular kerana bertindak menampar seorang penunggang motosikal di sebuah stesen minyak di Taman Perling, di sini Ahad lalu tidak dibenarkan terlibat dengan penugasan-penugasan operasi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, arahan itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.
Menurutnya, setakat ini, polis telah mengambil keterangan empat individu termasuk mangsa, anggota polis serta saksi kejadian.
“Polis telah menerima laporan berhubung kejadian daripada mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun kira-kira pukul 8 malam, hari sama. Setelah kejadian itu tular, kita telah jalankan siasatan awal sebelum laporan dibuat mangsa kerana salah seorang anggota polis yang turut berada di lokasi juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
“Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Kita akan lengkapkan siasatan sebelum dirujuk ke jabatan perundangan Bukit Aman sebelum dibawa ke Pejabat Pendakwa Raya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Ab. Rahaman turut memberitahu, anggota terbabit tidak boleh ditahan daripada menjalankan tugas hakikinya tanpa prosedur siasatan dibuat terlebih dahulu.
“Benar anggota terbabit bercuti pada hari tersebut, namun telah dipanggil bertugas bagi menyertai operasi dijalankan Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Utara (JBU), namanya ada dalam senarai penugasan.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, cuma semasa kejadian difahamkan anggota cuba menahan motosikal ditunggang mangsa yang cuba melarikan diri, jadi mungkin secara spontan berlaku insiden tamparan,”jelasnya lanjut.
Kelmarin, satu rakaman video berdurasi 23 saat memaparkan seorang penunggang motosikal lelaki bersama seorang pembonceng wanita sedang meninggalkan kawasan pam minyak sebelum kenderaannya hampir bertembung dengan sebuah motosikal lain.
Walaubagaimanapun tiada pelanggaran besar berlaku namun seorang individu bertindak menghampiri penunggang motosikal sebelum dilihat menampar mangsa di bahagian kepala menggunakan tangan kanan. – KOSMO! ONLINE














