SEREMBAN – Hampir 50,000 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Negeri Sembilan bakal menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM300 sempena Hari Raya Aidilfitri, membabitkan peruntukan dianggarkan RM15 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan tersebut meningkat berbanding tahun lalu iaitu RM200 seorang dengan peruntukan hampir RM10 juta.
Menurut beliau, pemberian BKK itu mencerminkan penghargaan Kerajaan Negeri Sembilan terhadap sumbangan dan peranan besar penjawat awam Persekutuan, yang jumlahnya jauh melebihi penjawat awam negeri.
“Kerajaan Negeri mengambil kira beban kos sara hidup serta komitmen penjawat awam, khususnya menjelang Aidilfitri, justeru bantuan ini diharap dapat meringankan perbelanjaan mereka,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2026 di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tunku Muhammad di sini hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri telah menerima bayaran premium fasa pertama pampasan tanah Kem Gemas berjumlah RM 72.49 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, bayaran itu merupakan sebahagian daripada penyelesaian pampasan keseluruhan bernilai RM1.26 bilion yang akan dibayar secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun.














