MADRID – Polis Sepanyol melakukan rampasan kokain terbesar selepas memintas sebuah kapal kargo membawa hampir 10 tan dadah itu, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Narkotik itu disembunyikan dalam kargo garam di luar Kepulauan Canary.
Kapal tersebut dikatakan memulakan pelayaran di Turkiye sebelum mengambil dadah tersebut di Brazil dan belayar menuju ke Sepanyol.
Sebahagian kokain itu dilaporkan menuju ke Huelva, barat daya tanah besar Sepanyol, dengan sebahagian lagi untuk dihantar ke Kepulauan Canary.
Pasukan elit polis menahan kesemua 13 krun kapal dan merampas senjata api semasa serbuan tersebut.
Polis mengeluarkan rakaman menunjukkan anggota-anggotanya mengawal kru yang ditahan. Mereka terdiri daripada warga India, Turkiye dan Serbia.
Menurut polis, kokain yang dirampas memiliki berat kira-kira 10 tan dan dibahagikan kepada 294 bungkusan berasingan. Nilainya dianggarkan sekitar £500 juta (RM2.7 bilion)
Menurut polis, ia merupakan rampasan kokain terbesar di laut oleh pasukan polis.
Polis Sepanyol percaya kumpulan penjenayah Serbia yang berpengaruh adalah dalang di sebalik penyeludupan itu.
Mereka cuba memindahkan kokain dari Amerika Selatan ke Eropah untuk diedarkan kepada pelbagai organisasi jenayah. – AGENSI














