TAPAH – Isu berkaitan penantian selama 30 tahun bekas perajurit untuk mengembalikan identiti kawasan penempatan mereka di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Bidor di Tapah akhirnya menemui jalan penyelesaian hasil inisiatif kerajaan negeri Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kesepakatan itu berjaya dicapai melalui kelulusan nama ‘RPT Perajurit Bidor@Taman Seri Bidor’ selepas penelitian menyeluruh melibatkan aspek sejarah, perundangan dan pentadbiran.
“Kawasan itu merupakan tanah kurniaan Sultan Perak kepada bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1987 sebelum dibangunkan sebagai kawasan perumahan pada awal 1992.
“Bagaimanapun, selepas kawasan ini siap diduduki dan cukai taksiran mula dikenakan pada tahun 1994, nama Taman Seri Bidor digunakan dalam sebahagian urusan pentadbiran pihak berkuasa tempatan, sedangkan hak milik tanah masih menggunakan nama RPT Perajurit Bidor,” katanya kepada pemberita di Tapah semalam. – KOSMO! ONLINE














