fbpx
Keadaan sebuah universiti swasta yang terlibat dalam kejadian letupan gas hari ini.

Letupan gas universiti: KPT arah periksa semua kemudahan kampus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan pihak universiti swasta terbabit untuk segera menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas semua kemudahan kampus susulan insiden letupan gas di tingkat empat sebuah bangunannya di Jalan Semantan, Kuala Lumpur, hari ini.

KPT dalam kenyataam berkata, kawasan terjejas perlu disahkan selamat oleh pihak berkuasa sebelum digunakan semula, selain menyediakan sokongan kebajikan termasuk rawatan perubatan dan psikososial kepada semua mangsa yang terlibat.

“KPT merakamkan ucapan takziah dan dukacita kepada keluarga seorang mangsa yang maut serta sembilan orang lagi yang cedera, termasuk empat pelajar dalam insiden letupan ketika kerja penyelenggaraan sistem pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara pagi tadi,” katanya.

KPT menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan tahap keselamatan dan kesejahteraan warga di semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sentiasa terjamin melalui pematuhan standard keselamatan, penyelenggaraan berkala serta kerjasama dengan agensi berkaitan.

“Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut, dan sebarang maklumat terkini berkaitan kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“KPT akan terus memantau perkembangan insiden tersebut dan tidak akan berkompromi
dalam aspek keselamatan demi memastikan persekitaran kampus yang selamat dan kondusif supaya kesejahteraan warga pendidikan tinggi terus terjamin,” jelas KPT.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, seorang kontraktor disahkan maut manakala sembilan mangsa cedera dalam insiden letupan di sebuah universiti swasta di Jalan Semantan, Kuala Lumpur kira-kira pukul 11.45 pagi tadi.

Fadil berkata, mangsa maut membabitkan lelaki tempatan berusia 24 tahun dan disahkan maut di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Dua kontraktor lelaki tempatan parah, empat pelajar dan seorang juruteknik cedera, manakala dua pekerja kantin warga Indonesia cedera ringan,” katanya.

Beliau menambah, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas penyaman udara bertekanan tinggi sehingga mengakibatkan kerosakan pada dinding konkrit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI