ALOR GAJAH – Seorang lelaki warga emas yang tinggal sendirian selepas kematian isterinya sejak Jun lalu ditemui meninggal dunia di rumahnya di Kampung Ayer Paabas, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang itu, mangsa yang berusia 60 tahun ditemui terbaring di lantai sebuah bilik di kediaman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, laporan berhubung kejadian diterima Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah melalui panggilan telefon dibuat orang awam pada pukul 6.15 petang.
“Pemeriksaan awal yang dilakukan pembantu perubatan Hospital Alor Gajah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dalam tempoh tidak lebih 24 jam.
“Sepasukan pegawai dan anggota polis yang turut bergegas ke lokasi mendapati tiada unsur jenayah atau kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa,” ujarnya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, temu bual bersama waris iaitu anak-anak mangsa memaklumkan mereka masing-masing bekerja dan belajar di luar Melaka, manakala warga emas berkenaan tinggal sendirian selepas si isteri meninggal dunia pada Jun lalu.
“Waris mangsa memaklumkan bapa mereka mempunyai rekod penyakit jantung.
“Mangsa merupakan bekas pembantu perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum bersara wajib pada 2023 dan tinggal seorang diri selepas pemergian isterinya pada Jun tahun lalu,” ujarnya.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan punca kematian disahkan disebabkan kegagalan jantung. – KOSMO! ONLINE














