fbpx

Vantris Energy lupus ekuiti 40 peratus dalam LTSSPL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Vantris Energy Berhad (Vantris Energy) mengumumkan pelupusan kepentingan ekuiti sebanyak 40 peratus dalam L&T-Sapura Shipping Pvt. Ltd. (LTSSPL), yang memiliki dan mengendalikan kapal pengangkat berat serta pemasangan paip LTS3000, kepada rakan usaha sama, Larsen & Toubro Limited (L&T), dengan jumlah pertimbangan kira-kira AS$ 30.5 juta (RM123.52 juta).

Jumlah tersebut merangkumi pertimbangan ekuiti serta pembayaran penuh bagi pinjaman pemegang saham yang tertunggak dan faedah terkumpul yang terhutang kepada Kumpulan.

Transaksi ini telah dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuh tidak langsung Kumpulan, Sapura Nautical Power Pte Ltd (Singapura).

Langkah ini menandakan satu lagi usaha berterusan syarikat untuk memperkemas, memperkukuh dan mengoptimumkan portfolio asetnya, selaras dengan fokus Kumpulan terhadap keupayaan teras dan aset milik penuh yang menyokong penciptaan nilai jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Muhammad Zamri Jusoh berkata, pelupusan ini sejajar dengan keutamaan transformasi organisasi.

“Pelupusan ini merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam membentuk semula Vantris Energy menjadi sebuah organisasi yang lebih fokus, tangkas dan berdaya tahan dari segi kewangan.

“Dengan penyusunan semula portfolio, kami menyalurkan modal dan perhatian kepada perniagaan, aset dan wilayah di mana kami mampu bersaing dengan kukuh serta memberikan nilai mampan,” katanya dalam kenyataan.

Hasil bersih daripada cadangan pelupusan tersebut, ia akan digunakan untuk keperluan operasi bagi perniagaan Kejuruteraan & Pembinaan (E&C) serta Operasi & Penyelenggaraan (O&M) syarikat.

Selepas pelupusan kepentingan dalam LTS3000, Vantris Energy masih mempunyai empat kapal pengangkat berat dan pemasangan paip dalam armadanya, kesemuanya dimiliki sepenuhnya.

Kumpulan memiliki dan mengendalikan sejumlah dua belas kapal dan tongkang pembinaan luar pesisir di bawah bahagian Kejuruteraan dan Pembinaan, yang berupaya menjalankan pengangkutan dan pemasangan di perairan cetek serta dalam, termasuk perkhidmatan subsea. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI