MUAR – Dua rakan diheret ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar perempuan dalam sebuah kereta ketika mengajak mereka keluar bersiar-siar bulan lalu.
Tertuduh, Iskandar Zulkarnain Dzulkifli, 21, dan Muhammad Firdaus Wiyoso, 20, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.
Iskandar Zulkarnain yang berdepan dua pertuduhan didakwa melakukan perbuatan itu ke atas mangsa berusia 16 tahun dalam kereta ketika perjalanan dari Bukit Pasir ke Seri Tanjung, Bakri, di sini pada pukul 2.30 hingga 4 pagi, 21 Disember lalu.
Muhammad Firdaus turut didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa berusia 14 tahun dalam kereta yang diletakkan di hadapan sebuah rumah di Sungai Abong pada tarikh dan waktu sama.
Kedua-dua tertuduh yang masih bujang dituduh mengikut Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.
Berdasarkan laporan, kedua-dua tertuduh mengenali dua pelajar itu sebelum mengajak mereka keluar. Ketika dalam perjalanan, tertuduh melakukan perbuatan tersebut sebelum terbongkar apabila salah seorang mangsa menceritakan kepada abangnya lalu membuat laporan polis.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 seorang, namun hanya Muhammad Firdaus membayarnya. Iskandar Zulkarnain pula dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan termasuk mangsa sehingga kes selesai. Kes disebut semula 16 Mac ini.-KOSMO! ONLINE














