LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memuji mentaliti Gabriel Martinelli yang cemerlang merakam hatrik untuk membantu pasukan menang 4-1 ke atas Portsmouth di pusingan ketiga Piala FA di Fratton Park kelmarin.
Sebelum perlawanan, Martinelli diselubungi kritikan dan kecaman berhubung kontroversi membabitkannya yang cuba menolak pertahanan Liverpool, Conor Bradley sewaktu aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates pada Jumaat lalu.
Martinelli sudah memohon maaf kepada Bradley dan Arteta cukup menggemari kebangkitan positif yang diserlahkan oleh pemain sayap lincah Brazil berkenaan.
“Itu personalitinya, masih ke padang dan biar aksinya bercakap tentang segala-galanya. Untuk bermain dengan kelab besar, pemain perlu ada personaliti kerana semua ini (kontroversi) boleh berlaku.
“Kali ini, dia meledak tiga gol dan esok dia akan kembali berlatih. Saya pasti Gabi (Martinelli) tidak akan merubah personalitinya itu,” katanya.
Dalam aksi itu, Arteta membuat rombakan besar dengan 10 pertukaran pemain di kesebelasan utama dan kebimbangan tersingkir di pusingan ketiga mula memuncak apabila Colby Bishop membuka jaringan buat Portsmouth seawal minit ketiga.
Tekanan daripada Christian Norgaard menyaksikan pemain lawan, Andre Dozzel menyumbat gol sendiri sebelum Martinelli menyerlah dengan tiga jaringan, mengulangi pencapaian Thierry Henry meledak hatrik ketika Arsenal menewaskan Portsmouth 21 tahun lalu pada 2005.
“Apabila melakukan banyak perubahan, kami mungkin akan berdepan aksi tidak sempurna seperti diharapkan, namun pemain berjaya menyelesaikannya,” kata Arteta. – AGENSI














