HANOI – Seorang lelaki telah didenda kerana menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mencipta sebuah video palsu yang memaparkan dirinya duduk di atas seekor ular sawa gergasi di Vietnam, lapor portal berita VnExpress semalam.
Dalam video itu, dia digambarkan berbuat demikian di Tasik Hoan Kiem, Hanoi satu perbuatan yang menurut pihak berkuasa telah mencemarkan imej mercu tanda bersejarah di kawasan tersebut.
Menurut laporan akhbar Lao Dong, Bahagian Keselamatan Siber dan Pencegahan Jenayah Teknologi Tinggi Jabatan Polis Hanoi mengenal pasti individu tersebut sebagai seorang penduduk berusia 50 tahun dari kawasan kejiranan Thanh Xuan.
Dia didakwa atas kesalahan menyediakan dan menyebarkan maklumat palsu di media sosial selepas memuat naik kandungan tersebut bagi menarik perhatian warga maya di internet.
Video berjudul ‘Inilah keturunan Lac Long Quan’ itu menggunakan teknologi AI untuk menggambarkan lelaki berkenaan duduk di atas seekor ular besar yang berenang di perairan tasik ikonik tersebut.
Jumlah denda yang perlu dibayarnya bagaimanapun tidak didedahkan.
Menurut Radio Voice of Vietnam, semasa disoal siasat oleh pihak berkuasa, lelaki itu mengaku menghasilkan video tersebut menggunakan telefon bimbitnya semata-mata untuk meningkatkan jumlah tontonan dan tanda suka di media sosial.
Selepas pengakuannya, dia berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang sama pada masa hadapan.
Berdasarkan peraturan Vietnam, individu yang menyediakan atau menyebarkan maklumat palsu, diputarbelitkan atau bersifat fitnah di media sosial boleh dikenakan denda antara 10 juta dong (RM1,600) hingga 20 juta dong (RM3,000). – AGENSI














